Pihak berkuasa tenis tubuh bantuan dana

PARIS, 22 APRIL – Badan pengurusan antarabangsa tenis berkata kelmarin satu program bantuan akan ditubuhkan untuk memberikan bantuan kepada pemain yang terjejas oleh pandemik koronavirus.

Tenis dunia telah digantungkan sejak permulaan bulan Mac dan tidak akan disambung sehingga seawal pada pertengahan bulan Julai berikutan penundaan Roland Garros dan pembatalan Wimbledon.

“Dengan keadaan yang tidak menentu di seluruh dunia untuk menyambung semula jelajah tenis profesional, badan pengurusan antarabangsa dunia tenis boleh mengesahkan mereka dalam perbincangan untuk menubuhkan Program Bantuan Pemain,” menurut kenyataan bersama dari ATP, WTA, ITP dan empat kejohanan Grand Slam.

Ia akan memberikan ‘bantuan yang diperlukan ke atas pemain terutama yang terjejas semasa tempoh krisis koronavirus (COVID-19).”

Jumlah sebenar tidak didedahkan tetapi ‘butiran sedang dipersiapkan dengan pengumuman dijangka akan dibuat dalam masa terdekat,” tambahnya.

“Yang telah dipersetujui adalah ATP dan WTA akan menjadi pentadbir Program Bantuan Pemain dan tujuh pihak berkepentingan akan membuat sumbangan signifikan.”

Novak Djokovic Sabtu lalu mendedahkan dia sedang bekerja sama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal untuk menubuhkan bantuan untuk pemain yang bergelut dengan perlawanan yang digantung kerana krisis kesihatan.

Pemain nombor satu dunia menjangkakan untuk menerima ‘antara AS$3 juta dan AS$4.5 juta’.

Dia berkata wang tunai itu boleh diambil daripada hadiah utama musim penghujung Final Jelajah Dunia atau bonus final terkumpul untuk pemain utama.

Menurut laporan Djokovic, presiden Majlis pemain ATP, mencadangkan kepada ahli-ahlinya bahawa pemain dalam ranking 100 teratas perseorangan dan ranking 20 teratas peserta beregu membuat sumbangan mengikut ranking mereka. – AFP