Pihak kerajaan, taliban adakan rundingan damai bersejarah

KABUL, 11 SEPT – Rundingan damai yang lama terbantut di antara perunding Taliban dan kerajaan Afghanistan akan bermula pada Sabtu di Qatar, menurut pegawai, menandakan peristiwa penting dalam perang Afghanistan selama 19 tahun.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo akan membuat lawatan ke Doha untuk memulakan rundingan yang disokong Amerika Syarikat, ketika Presiden Donald Trump berjanji untuk menghentikan ‘peperangan yang tiada kesudahan’ di luar negara dengan hanya dua bulan sebelum pilihan raya presiden bermula.

Rundingan yang pada asalnya bermula pada Mac tetapi berulang kali ditangguhkan di tengah-tengah perbalahan mengenai pertukaran tahanan yang termasuk membebaskan ratusan pejuang Taliban.

Trump mengumumkan bahawa Pompeo akan berlepas pada Khamis ‘dalam perjalanan bersejarah ke Doha, Qatar, untuk memulakan rundingan damai dalaman Afghanistan’.

Para pemberontak, kerajaan Afghanistan dan pegawai-pegawai Qatar mengesahkan kelmarin bahawa rundingan akan dimulakan pada Sabtu selepas acara pembukaan di Doha.

Abdullah Abdullah melambai ketika hendak memasuki pesawat untuk menuju ke Kabul. Pihak Taliban dan kerajaan Afghanistan akan mula membuat rundingan damai bersejarah yang sudah lama terbantut pada Sabtu di Doha, Qatar.- AP

Pompeo dalam kenyataannya, menyifatkan rundingan ‘bersejarah’ sebagai peluang utnuk menamatkan peperangan dan pertumpahan darah selama beberapa dekad, dan menambah ‘peluang ini tidak akan disia-siakan’.

Menteri Luar Qatar berkata, rundingan ‘serius dan penting menuju kedamaian di Afghanistan’.

Bekas ketua eksekutif Afghanistan, Abdullah Abdullah, yang kini merupakan ketua Majlis Tertinggi Perdamaian Kebangsaan (HCNR), bakal berlepas ke Qatar hari ini.

“HCNR berharap selepas menunggu dengan lama, perbincangan akan membawa kepada keamanan berkekalan dan kestabilan serta menamatkan peperangan,” tulis Majlis tersebut melalui Twitter.

Rundingan dibuat selepas Trump berdepan ketidaktentuan dalam pemilihan pada 3 November dan dia berusaha untuk mengundurkan tentera AS dari Afghanistan, di mana ia meningkat kepada lebih dari 12,000 semasa pemerintahannya untuk memerangi Taliban dan IS.

Angka tersebut berkurangan kira-kira 8,600 pada Julai berikutan perjanjian pada Februari di antara Washington dan Taliban, dan dijangka akan menjadi kira-kira 4,500 pada Oktober. – AFP