Pihak swasta tampil hulurkan bantuan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggujawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan disini, hari ini, menyatakan bahawa Progresif Sdn Bhd telah menyerahkan sumbangan cek berjumlah $38,420 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar, manakala imagine Sdn Bhd turut menyumbangkan cek berjumlah $15,694.10 kepada Tabung Bantuan COVID-19 2021 dengan sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pada majlis itu, Shosha Beauty Company telah menyumbangkan lima set powered air purifying respirator (PAPR) with accessories dengan sumbangan disampaikan oleh wakil syarikat kepada Haji Maswadi.

Kementerian Kesihatan juga turut menerima sumbangan cek berjumlah $26,000 bagi Tabung Bantuan COVID-19 2021 yang disumbangkan oleh Persatuan Perniagaan Taiwan di Brunei Darussalam yang disampaikan oleh presiden persatuan berkenaan, Yap Ong Chuan kepada Penolong Pengarah Kewangan Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Ajar bin Haji Mohd Yusof.Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin untuk membuat sebarang sumbangan, mereka boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Hajah Nurul Haniah ketika menyampaikan sumbangan cek berjumlah $38,420 kepada Haji Maswadi di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan.
Dayang Suzannawati ketika menyampaikan sumbangan cek berjumlah $15,694.10 kepada Haji Maswadi semasa majlis tersebut.