Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Yusrin Junaidi & Azrol Azmi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berulangkali menitahkan supaya ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baru dilantik memikul amanah dengan penuh tanggungjawab serta memberikan tumpuan kepada menyumbangkan idea-idea atau pandangan mengenai isu-isu strategik yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dan penduduk negara ini.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata demikian semasa membuat perjumpaan bersama para penghulu mukim serta ketua-ketua kampung dan ketua-ketua rumah panjang dalam satu perjumpaan yang diadakan di Dewan Banquet, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Bangunan Dewan Majlis di ibu negara.
Menurut Yang Berhormat Pehin, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua rumah panjang telah menunaikan kewajipan masing-masing dalam menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menggalakkan lebih ramai anak tempatan bekerja di dalam sektor swasta sebagai usaha untuk mempelbagaikan sumber perekonomian Negara.
“Saya penuh percaya bahawa kreadibiliti, kewibawaan dan tahap kepimpinan ahli MMN selaku wakil-wakil daerah, In Shaa Allah cabaran-cabaran dalam menjalankan tugas yang diamanah itu akan dapat diatasi dengan bijak dan berkesan.
“Sememangnya harapan atau jangkaan amat tinggi bukan sahaja daripada kalangan penghulu mukim, ketua kampung dan ketua rumah panjang tetapi masyarakat secara keseluruhan juga mempunyai harapan yang tinggi dengan semua ahli MMN,” tambah Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar juga mengi-ngatkan semua penghulu, ketua-ketua kampung, ketua-Ketua rumah panjang serta seluruh warga semua Pejabat Daerah dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada ahli-ahli MMN dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan melalui pendekatan ‘A Whole of Nation Approach’ dengan bergerak sebagai satu pasukan bagi merealisasikan Wawasan 2035 yang berpaksi kepada ajaran agama Islam dan Melayu Islam Beraja.



Proses pemilihan ahli-ahli MMN telah dilaksanakan menurut Perlembagaan Negara Brunei Darussalam setelah pembubaran MMN pada 6 Ogos 2016. Bilangan individu dari kalangan para penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua rumah panjang di setiap daerah yang dicalonkan adalah 35 orang untuk Daerah Brunei dan Muara, lapan orang untuk Daerah Belait, lapan orang untuk Daerah Tutong dan enam orang dari Daerah Temburong.
Lantikan mereka juga memberikan peluang kepada kerajaan untuk mendengar suara rakyat dan pada masa sama supaya mereka dapat menyampaikan agenda dan hasrat kerajaan dengan lebih baik dan jelas.
Dalam lantikan kali ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan tambahan wakil daerah dalam MMN daripada sembilan orang pada 2011 kepada 10 orang tahun ini selepas tambahan wakil untuk Daerah Brunei dan Muara bagi mengimbangi nisbah penduduk yang lebih ramai berbanding daerah-daerah lain.
Penambahan ini juga menggambarkan dengan jelas keyakinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi memberi peluang kepada para wakil daerah menyuarakan perkara-perkara penting pada MMN. Di samping itu, ia juga memperlihatkan satu kemajuan dalam melaksanakan peruntukan perlembagaan negara ini.
Calon-calon yang mewakili Daerah Brunei dan Muara ialah Penghulu Mukim Berakas B, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon 1 (Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B).
Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk Zon 2 (Mukim Serasa dan Mukim Mentiri).
Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk Zon 3 (Mukim Kota Baru, Mukim Kianggeh dan mukim-mukim di Kampong Ayer).
Penghulu Mukim Gadiong A, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan Penduduk dalam Zon 4 (Mukim Gadong A dan Mukim Gadong B) dan Ketua Kampung Limau Manis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon 5 (Mukim Lumapas, Mukim Pengkalan Batu, Mukim Kilanas dan Mukim Sengkurong).
Calon-calon yang mewakil Daerah Belait ialah Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon1 (Mukim Liang dan Mukim Seria) dan Ketua Kampung Labi I, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon 2 (Mukim Kuala Belait, Mukim Bukit Sawat, Mukim Sukang, Mukim Melilas, Mukim Labi dan Mukim Kuala Balai).
Seterusnya, calon-calon yang mewakili Daerah Tutong ialah Penghulu Mukim Tanjong Maya, Yang Berhormat Haji Abd Wahab bin Apong, yang akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon 1 (Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam, Mukim Tanjong Maya) dan Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit akan dipertanggungjawabkan ke atas kawasan dan penduduk dalam Zon 2 (Mukim Telisai, Mukim Kiudang, Mukim Ukong, Mukim Rambai dan Mukim Lamunin).
Manakala calon yang mewakili Daerah Temburong ialah Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, yang akan dipertanggungjawabkan ke atas semua kawasan dan penduduk di Daerah Temburong.
Perlantikan ahli MMN adalah atas kepercayaan dan sokongan penghulu mukim, ketua kampung, ketua rumah panjang ke atas kewibawaan mereka selaku wakil daerah dan zon masing-masing.
“Perlantikan ini perlu dihayati sedalam-dalamnya sebagai satu amanah dan kepercayaan yang telah diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam membawa usul yang signifikan lagi strategik bagi kepentingan rakyat dan penduduk negara ini di samping membantu kerajaan dalam membangunkan negara ini,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri lagi.