Pil kuda RM2.7 juta dirampas

PASIR MAS, 20 OKT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda sebanyak 270,000 biji yang bernilai RM2.7 juta.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud berkata rampasan menerusi Ops Sinar 2019 dilakukan pada 12.30 tengah hari, Rabu lepas terhadap sebuah kereta jenis Toyota Camry yang bernombor pendaftaran Thailand yang ditinggalkan di Wakaf Che Yeh, di sini.

“Melalui pemeriksaan ke atas kereta itu, didapati tiada dokumen sah dan setelah menunggu selama enam jam, tiada mana-mana individu pergi ke kereta itu, dan pihak penguatkuasaan terus merampas kereta tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang di sini, hari ini. Mohd Rakbi berkata pihaknya mendapati terdapat 45 bungkusan berwarna kuning berisi dadah jenis pil kuda yang tersembunyi di dalam bahagian but belakang kereta tersebut yang telah diubah suai.

“Pihak kami turut menyita Toyota Camry terbabit yang dianggarkan bernilai RM30,000 untuk tindakan selanjutnya dan dipercayai pil kuda berkenaan untuk pasaran dalam dan luar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati. – Bernama

Mohd Rakbi Mat Saud menunjukkan bahagian but belakang kereta yang diubah suai untuk meletakan 45 bungkusan berwarna kuning berisi dadah jenis pil kuda pada sidang media JKDM Kelantan di Pejabat Penguatkuasaan Rantau Panjang kelmarin. – Bernama