KUALA LUMPUR – Bawang adalah antara barangan keperluan pengguna yang bekalannya bergantung kepada yang diimport dan lazimnya orang ramai terutamanya suri rumah lebih menyukai bawang yang diimport dari India sungguhpun Malaysia juga mengimport bawang dari Belanda, Pakistan dan China.
Justeru, apabila timbul masalah kekurangan bekalan dari India sehingga menjejaskan eksport bawang termasuk ke Malaysia sudah tentu harganya akan melambung seperti yang berlaku pada akhir tahun lepas sehingga harga bawang dilaporkan mencecah RM24 sekilogram di sesetengah tempat.
Persoalannya mengapa Malaysia tidak menanam bawang bagi memenuhi kadar sara diri (SSL) kerana negara ini mempunyai kawasan pertanian yang luas dengan tanah yang subur.
Apabila perkara ini diajukan kepada pihak berwajib jawapannya ialah tidak ekonomik jika petani menanam bawang dan harganya akan menjadi lebih tinggi daripada yang diimport selain faktor cuaca negara ini yang tidak sesuai dengan tanaman bawang.
Dalam temu bual khas media bersama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Mohd Nasir Warris baru-baru ini, beliau menjelaskan bahawa kos import bawang merah dari India adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos pengeluaran bawang merah tempatan.

Sekiranya bawang merah ditanam secara domestik, margin bagi hasil keuntungan petani tempatan untuk penanaman itu adalah sangat kecil dan tidak berbaloi untuk mereka.
“Kalau kita keluarkan (hasilkan) bawang, kita kena jual bawang itu dengan harga seperti bawang yang diimport, jadi ini akan beri margin keuntungan sangat kecil kepada petani dan tidak beri keuntungan kepada petani,” jelasnya.
Kos bawang merah yang diimport dari India lebih murah disebabkan beberapa faktor lain antaranya perusahaan tanaman di negara itu dilakukan secara manual, yang tentunya memerlukan tenaga kerja yang ramai dan India mudah untuk mendapatkan tenaga kerja berbanding Malaysia.
“Macam kita (Malaysia) tenaga kerja terhad, sehingga kini ini kalau kita pergi ke ladang-ladang yang besar dan kebun-kebun sayur, perkara pertama yang pengusaha ladang beritahu kita adalah mereka tidak cukup pekerja,” katanya.
Malah, jabatan berkenaan juga pernah menjalankan projek perintis penanaman bawang sebelum ini dengan kerjasama syarikat dari India namun hasilnya mendapati kos pengeluaran bahan asas masakan itu agak tinggi.
Mohd Nasir berkata pengeluaran bawang merah turut tidak mendapat sambutan daripada golongan petani tempatan kerana pendapatan daripada perusahaan itu kurang menguntungkan jika dibandingkan tanaman lain yang memberi pulangan yang lebih tinggi.
Keadaan cuaca sesebuah negara juga menjadi faktor pen-ting untuk penanaman bawang merah dan ia amat sesuai ditanam dalam iklim sub tropika yang berkelembapan rendah, sebaliknya Malaysia berada di zon khatulistiwa yang lembap.
Bagaimanapun, Mohd Nasir berkata penanaman bawang merah boleh diusahakan dan wajar melihat semula peluang ada antaranya mempelbagaikan penggunaan teknologi yang dapat meningkatkan hasil pengeluaran serta mengurangkan kos. Namun, kajian terperinci diperlukan dengan mekanisme sesuai sebelum tanaman bawang dapat dilaksanakan di Malaysia, katanya. – Bernama




























