Pilih jam tangan mengikut personaliti lelaki

Oleh Adiiwira

Menyentuh tentang aksesori pakaian, golongan wanita sering dikaitkan dengan gelang,rantai, cincin, beg dan sebagainya.

Bagi golongan lelaki pula, jam merupakan salah satu aksesori yang boleh dikatakan wajib dipakai.

Pemakaian jam setentunya berfungsi untuk mengetahui masa dan tarikh, namun jam juga boleh menggambarkan personaliti seseorang.

Dalam masa yang sama ia juga dapat menunjukkan gaya serta kebijaksanaan anda. Bagi penulis sendiri yang meminati jam dan juga menyimpannya sebagai satu koleksi.

Namun, dalam pemilihan jenis jam tidak semestinya bergantung pada cita rasa kita kerana tertarik dengan keindahannya, atau tertarik kerana ia berjenama mahupun nilai harganya.

Kini semakin banyak jam tangan pintar yang dijual di pasaran yang sesuai digunakan oleh orang yang aktif bersukan. – Agensi
Jam merupakan salah satu aksesori yang boleh dikatakan wajib dipakai. – Agensi
Pada kebiasaannya jam yang dijual di kedai-kedai menggunakan pelbagai jenis tali jam tangan dan salah satunya diperbuat daripada kulit. – Agensi
Jam tangan yang menggunakan besi keluli, lebih sesuai dengan apa saja jenis gaya sekali pun terutama ketika mengenakan pakaian formal seperti baju kemeja dan sut. – Agensi
Pemakaian jam tangan yang betul adalah dengan memastikan jam tangan tersebut tidak bergerak-gerak semasa memakainya. – Agensi

Seharusnya kita perlu mempertimbangkan jam yang selesa dan serasi dengan jiwa serta personaliti.

Di sini, dikongsikan beberapa tip untuk pemilihan jam:

Ketahanan dan jenis gerakan jam

Antara faktor utama dalam pemilihan jam ialah bahan jam tangan itu diperbuat dan jenis gerakan jam tersebut. Jam tangan memiliki dua bahagian yang penting iaitu rangka dan tali jam.

Jam digerakkan dengan salah satu daripada tiga jenis fungsi iaitu bateri, quartz, mekanikal dan lain-lain yang membawa fungsi yang lebih kurang sama cuma berbeza daripada aplikasi dalamannya.

Ketahanan sesebuah jam ini ditentukan melalui cara pemakaiannya. Jika orangnya lasak sebaiknya pilihlah jam jenis chrono, diver dan field. Ini kerana ketiga-tiga jenis jam ini diciptakan bagi pemakai yang melakukan aktiviti lasak.

Sebagai contoh jam jenis diver pada asalnya diciptakan untuk penyelam laut dalam kerana ia mempunyai sifat kalis air dan tahan daya tekanan.

Bagi anda yang seorang yang cermat, seharusnya anda memilih jam jenis pilot atau besi keluli. Namun yang penting, pilih jam tangan mengikut tujuan ketika memakainya supaya tidak nampak janggal.

Memilih jenis tali jam tangan

Seperti mana yang kita ketahui, kebiasaannya jam yang dijual di kedai-kedai menggunakan pelbagai jenis tali jam tangan seperti kulit, besi keluli, getah dan kain atau mungkin saja ada lagi jenis tali jam lain.

Dalam pemilihan jenis tali jam ini, pengguna perlu mengetahui adakah jam tersebut bakal memenuhi keperluan harian. Ini kerana setiap individu memiliki perbezaan tujuan pemakaiannya sebagai contoh jika seorang itu memakai jam untuk bersukan, setentunya dia akan memilih sejenis jam tahan lasak atau sport.

Berdasarkan pengamatan penulis, jam-jam yang menggunakan tali yang terdiri dari kulit, getah dan kain lebih sesuai dipakai untuk aktiviti santai dan sangat sesuai dipadankan dengan pakaian kasual.

Manakala, jam tangan yang menggunakan besi keluli, lebih sesuai dengan apa saja jenis gaya sekali pun terutama ketika mengenakan pakaian formal seperti baju kemeja dan sut.

Di samping itu juga, anda perlu melihat keseimbangan lebar tali jam dengan diameter rangka jam. Jika mempunyai diameter rangka jam 42mm, tali jamnya harus memiliki lebar 21mm. Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan untuk memakai apa sahaja jenis tali, asalkan merasa selesa memakainya.

Perincian jam tangan

Kesalahan yang sering dilakukan bagi golongan lelaki yang baru pertama kali untuk membeli jam tangan, mereka biasanya mudah ‘tergoda’ dengan perincian dan chronograph yang berat. Mungkin bagi sesetengah mereka merasakan penggunaan jam tangan seperti itu lebih menunjukkan diri lebih cool dan macho.

Tanggapan seperti itu sebenarnya salah, seharusnya jika jam tangan itu kecil pilihlah perincian yang sederhana dan bagi yang berukuran lebih besar sebaiknya memiliki ciri-ciri yang lebih dominan.

Apa yang penting adalah memadai dapat menunjukkan masa dan tarikh. Berbezalah dengan jam tangan kecergasan yang memerlukan perincian yang lebih kompleks dengan mempunyai ciri-ciri yang dapat memenuhi cita rasa yang akan diperlukan.

Namun, pada ketika ini anda tidak perlu khuatir kerana kini semakin banyak jam tangan pintar yang dijual di pasaran.

Adakah saiz jam penting?

Sesetengah lelaki menganggap dengan memakai jam tangan yang besar menandakan kekayaan atau lebih tampil bergaya. Memang tidak menjadi kesalahan kerana pilihan peribadi, namun jika ia terlampau besar akan menonjolkan kejanggalan.

Oleh itu, disarankan pilihlah jam yang mempunyai diameter yang sederhana antara 38mm dan 42mm. Bagi seseorang yang mula berjinak-jinak dengan jam tangan pilihlah jenis yang nipis serta ringan dan cuba sesuaikan pergelangan tangan.

Bagi yang lebih suka memilih jam berukuran besar pastikan ia bersesuaian dengan ketinggian badan dan saiz pergelangan.

Pastikan ia muat!

Satu lagi kesalahan yang dilakukan dalam pemilihan jam tangan ini adalah tidak ketat pada tangan yang memakainya. Pemakaian jam tangan yang betul adalah dengan memastikan jam tangan tersebut tidak bergerak-gerak semasa memakainya.

Jika anda memakai jenis tali jam besi keluli, bawa jam anda ke tukang jam untuk mengurangkan pautan yang lebih sehingga ia mencapai saiz yang betul.

Manakala jenis tali jam yang lain, pastikan anda memakainya secara tidak terlalu ketat dan selesa, asalkan jam yang anda pakai itu tidak bergerak.

Secara kesimpulannya, semua ini bergantung pada pilihan peribadi masing-masing.

Ruangan ini hanyalah sekadar berkongsi pendapat peribadi dan pembacaan penulis.

Apa yang penting anda harus tahu adakah ia memenuhi keperluan harian anda.

Belilah jam mengikut keperluan masing-masing yang spesifik seperti untuk bersukan, kerja, menghadiri majlis formal atau sebagainya. Janganlah membeli jam tangan semata-mata mengikut trend.