Pilih kaca mata sesuai bentuk muka

Oleh Adiiwira

Pada dasarnya kita mengetahui sebab mengapa ada sesetengah orang di sekeliling kita memakai kaca mata iaitu sebagai keperluan bagi mereka yang mengalami rabun jauh atau dekat dan juga sebagai aksesori untuk bergaya.

Namun, dalam pemilihan kaca mata sama ada optik atau gelap tidak boleh dilakukan begitu saja tanpa memikirkan kesesuaian di wajah seseorang.

Setiap orang memiliki bentuk muka yang berbeza dan seharusnya para pembaca perlu mengetahui jenis bentuk muka sendiri untuk memudahkan membuat pilihan kaca mata yang sesuai.

Dalam masa yang sama, memang tidak dinafikan agak sukar untuk membuat pilihan ketika membeli kaca mata. Hal ini kerana, di kedai-kedai kaca mata terdapat pelbagai jenis, bentuk dan jenama kaca mata yang dijual. Sehinggakan kita tidak tahu memilih yang berkenan di hati dan akhirnya mengakibatkan tersalah pilih.

Justeru, untuk mengelakkan kesalahan ini berlaku, dinasihatkan jangan memilih kaca mata yang anda suka saja. Dalam ruangan ini, penulis mengongsikan beberapa tip dalam pemilihan kaca mata yang sesuai dengan beberapa bentuk muka masing-masing.

Bagi seseorang yang memiliki bentuk muka bulat, disyorkan untuk mengelak memakai bingkai kaca mata yang berbentuk bulat dan sempit. – Agensi
Memiliki bentuk muka segi empat atau persegi sebaiknya memilih bingkai kaca mata yang mampu ‘melembutkan’ struktur muka.
– Agensi
Bentuk muka bujur paling fleksibel dalam pemilihan bentuk bingkai kaca mata, tidak kisahlah ia berbentuk bujur, bulat, persegi semuanya akan sesuai dan seimbang. – Agensi

Jenis bentuk muka bulat

Sebagaimana yang dijelaskan, setiap manusia memiliki bentuk muka yang berbeza. Bagi yang memiliki bentuk muka bulat biasanya memiliki ukuran dagu dan lebar dahi yang hampir sama dan pipi yang penuh. Disyorkan untuk mengelak memakai bingkai kaca mata yang berbentuk bulat dan sempit.

Hal ini kerana secara visual dari orang lain, jika kita memiliki bentuk muka yang bulat dan ditambah lagi dengan bingkai yang bulat akan lebih menonjolkan muka kita lebih kelihatan bulat. Justeru, bingkai yang sesuai untuk dipakai bagi bentuk wajah bulat ini ialah bingkai kaca mata yang bersegi atau kotak untuk menampakkan wajah anda lebih tirus dan runcing dengan struktur rahang yang lebih berkarakter.

Jenis bentuk muka segi empat

Jika para pembaca mempunyai bentuk muka segi empat atau persegi, memilki ukuran lebar dahi dan rahang yang serupa sehingga garis muka terlihat persegi dan tegas. Mengikut pembacaan penulis, bagi sesiapa yang memiliki bentuk muka ini untuk memilih bingkai kaca mata yang mampu ‘melembutkan’ struktur muka.

Anda disarankan untuk memilih bingkai kaca mata berbentuk bulat, bujur (oval) atau kaca mata yang berbentuk ‘cat eye’. Namun jangan sesekali memakai bingkai berbentuk kotak dan memiliki sudut yang tajam.

Jenis bentuk muka bujur

Bagi para pembaca yang memiliki bentuk muka bujur sememangnya anda paling bertuah dan mudah untuk memilih bingkai kaca mata. Orang yang memiliki bentuk muka bujur ini ukuran panjang atas dan bawah dengan lebar muka seimbang.

Justeru, bentuk muka ini paling fleksibel dalam pemilihan bentuk bingkai kaca mata, tidak kisahlah ia berbentuk bujur, bulat, persegi semuanya akan sesuai dan seimbang. Walau bagaimanapun, terdapat satu perkara yang perlu anda tekankan iaitu dalam pemilihan ukuran lensa bingkai kaca mata yang anda pilih.

Jika anda memiliki wajah yang kecil, jangan memilih yang besar bagi memastikan bentuknya sesuai dan seimbang sehingga tidak menutupi keseluruhan muka dan pilihlah juga bentuk bingkai yang tebal.

Jenis bentuk muka seperti hati

Memiliki bentuk muka seperti hati ini biasanya memiliki ukuran dahi yang lebar berbanding ukuran dagu yang sempit. Mengikut pembacaan penulis, bagi orang yang memiliki bentuk muka ini lebih disarankan memakai kaca mata yang lebih simple.

Di mana, jenis bingkai kaca mata yang sesuai untuk dipakai ialah bingkai kaca mata yang memiliki bahagian atas bingkai tetapi ‘hilang’ pada bahagian bawah atau pipi yang akan memberikan keseimbangan pada muka.

Selain itu kaca mata tanpa bingkai atau berbentuk cat eye juga sesuai dipakai bagi bentuk muka ini. Bingkai kaca mata berbentuk persegi panjang yang lebih lebar dari dahi juga sesuai kerana ia dapat memberikan keseimbangan pada bahagian pipi yang cenderung tirus.

Jenis bentuk muka berlian

Jenis bentuk muka yang terakhir ini adalah bentuk muka berlian yang biasanya memiliki tulang pipi yang lebar namun ukuran dahi dan dagu yang sempit. Jika para pembaca memiliki bentuk muka ini disyorkan untuk memilih bingkai kaca mata yang dapat mengalihkan pandangan yang tertuju pada kawasan mata, alis dan dahi.

Sebagai contoh bingkai berbentuk cat eye yang memiliki hujung yang runcing ke atas boleh menciptakan ilusi agar dahi lebih lebar. Mengikut pembacaan penulis, ukuran kaca mata yang sesuai adalah bahagian atas bingkai kaca mata lebih lebar dibandingkan bahagian bawahnya seperti jenis half frame atau Nylor. Hal ini bertujuan untuk mengurangi bentuk muka yang bersudut dan seboleh-bolehnya hindari bingkai yang sempit atau berbentuk bulat.

Kesimpulannya, meskipun pemilihan kaca mata yang sesuai dengan bentuk muka masing-masing, apa yang penting adalah memilih yang paling selesa anda gunakan. Pilihlah ukuran dan warna yang sesuai dengan gaya anda. Ruangan ini hanya sekadar perkongsian yang sedikit dan mungkin saja ada yang memiliki pendapat yang berbeza.