Pilih kerbau atau ayam

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis – Setelah tertangkap kali pertama lelaki yang sama yang menukar taktik penyeludupannya dengan membawa seekor kerbau hidup sementara menyorokkan sebanyak 160 kilogram daging ayam di bawah lantai lori kecilnya tertangkap lagi.

Penangkapan lelaki warga tempatan berumur 48 tahun itu bersama seorang pekerja warga Indonesia berumur 24 tahun dibuat selepas pegawai Bahagian Pencegahan Penyeludupan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja menerima maklumat daripada orang ramai mengenai satu kegiatan penyeludupan di salah sebuah lorong tikus di Kampung Junjongan pada kira-kira pukul 3:30.

Setelah mengesahkan kesahihan maklumat itu sepasukan lima pegawai kastam berkejar ke lokasi yang diberikan lalu mengesan sebuah lori kecil membawa seekor kerbau bergerak keluar dari kampung itu.

Kira-kira pada pukul 4:30 petang pegawai kastam yang menaiki sebuah kereta kemudiannya bertindak mengekori lori kecil itu sementara menghubungi pasukan bantuan seramai lima orang lagi pegawai kastam sambil menentukan lokasi yang sesuai untuk menahan lori kecil itu.

Lori yang disyaki itu diekori sehingga memasuki simpang Jalan Bengkurong-Masin berhampiran sebuah ladang ternakan lalu kedua-dua pasukan kastam bertindak memintas lalu mengepung lori itu.

Pemeriksaan awal ke atas lori itu jelas menunjukkan ada tanda-tanda bekas kotak di bawah lantai alas kerbau itu dan apabila diselak sedikit kotak itu jelas kelihatan bungkusan daging ayam.

Lori itu terus dibawa ke ibu pejabat Kastam dan Eksais Diraja dan setelah kerbau itu diturunkan dan alas lantai itu diangkat ternyata terdapat sebanyak sepuluh kotak besar berisi 16 kilogram daging ayam setiap satu.

Difahamkan lelaki itu akan didakwa ke mahkamah kerana melakukan kesalahan kali kedua menyeludup barang tegahan masuk ke negara ini.

Ekoran kejayaan itu Jabatan Kastam menghargai kerjasama yang diberikan oleh orang ramai dalam membantu usaha kerajaan membanteras kegiatan meyeludup masuk barang tegahan ke negara ini.