Saturday, December 7, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilih makanan sihat, kurangkan gula

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Di Negara Brunei Darussalam, diabetes merupakan penyebab kematian keempat tertinggi selepas kanser, penyakit jantung dan penyakit kardiovaskular.

    Menurut Kaji Selidik Kebangsaan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2015-2016, prevalens diabetes di kalangan orang dewasa di negara ini ialah 9.7 peratus.

    “Penyakit diabetes terutama diabetes Jenis 2 boleh dicegah. Diabetes Jenis 2 adalah jenis penyakit diabetes metabolik yang berpunca daripada tahap gula dalam darah yang tinggi atau juga disebut sebagai hiperglisema.”

    Penyakit itu dianggap sebagai penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup yang kurang sihat termasuk pemakanan yang tidak seimbang, cara hidup yang sedentari atau tidak aktif dan berat badan berlebihan atau obes.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 yang berlangsung di Ruang Legar, The Mall, Gadong, hari ini.

    Dr Hajah Rafidah semasa menyampaikan cenderahati pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Diabetes juga boleh memberi impak yang signifikan terhadap kesihatan mental, ulasnya, di mana menangani penyakit kronik seperti diabetes boleh menyebabkan tekanan atau kekecewaan.

    Kebimbangan untuk mengalami komplikasi boleh menimbulkan rasa gelisah atau putus harapan. Keadaan stres itu boleh mempengaruhi tahap gula di dalam darah dan menjadikan pengawalan diabetes menjadi sukar, ulas beliau lagi.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan mengurus stres melalui teknik relaksasi, aktiviti fizikal dan sistem sokongan adalah amat penting dalam pengawalan diabetes.

    Justeru itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa tindakan pencegahan bagi obesiti dan diabetes termasuk Kod Pemasaran Makanan dan Minuman Yang Berhemah kepada Kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak daripada kesan pengiklanan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat dan cukai ke atas minuman yang mengandungi gula.

    Dr Hajah Rafidah turut menyatakan beberapa langkah bagi mewujudkan persekitaran pemakanan yang lebih sihat turut dilaksanakan termasuk Inisiatif Logo Pilihan Sihat bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan makanan yang lebih sihat.

    Manakala Program Brunei on the Move (BNOTM) adalah salah satu inisiatif untuk mempromosi dan menggalakkan masyarakat untuk sentiasa aktif melakukan kegiatan fizikal.

    Beliau menyatakan bahawa meningkatkan kesedaran mengenai diabetes melalui pendidikan yang berterusan merupakan kunci utama dalam pencegahan dan pengawalan penyakit diabetes.

    “Tahun ini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan kempen kesedaran Diabetes di beberapa buah sekolah menengah di mana pegawai perubatan dan jururawat dari Unit Endokrin dan juga Unit Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, memberi taklimat kepada pelajar-pelajar tahun 7 tentang Penyakit Diabetes, gejala-gejalanya dan juga pencegahannya.”

    Pada Ogos 2024, beliau menyatakan Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Program Balance melalui aplikasi BruHealth yang bertujuan untuk memberi tumpuan kepada khidmat nasihat kepada penghidap diabetes jenis 2 mengenai pemakanan yang sihat, senaman serta pemantauan paras gula dalam darah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda