Dedahkan kanak-kanak dengan aktiviti memancing

Oleh Raz AS

Pada zaman yang serba canggih ini, kehidupan kanak-kanak sekarang jauh berbeza daripada sewaktu kita masih kecil dan berada di bangku persekolahan dahulu.

Jika dulu kita lebih banyak meluangkan masa berada di luar rumah bersama rakan-rakan sebaya, tidak kiralah bermain ‘carah’, bermain bola, main kayu tiga atau pergi ke laut atau ke hutan bersama ayah dan lain-lain lagi.

Namun kini semuanya telah berubah, kanak-kanak lebih selesa ‘beparam’ di rumah dan meluangkan masa seharian mereka menghadap telefon bimbit, tablet, permainan video dan komputer sepanjang waktu.

Oleh itu sebagai salah satu cara bagi kita untuk mengelakkan mereka daripada membuang masa sebegitu sahaja dan mendedahkan mereka kepada keindahan alam semula jadi, menghirup udara segar serta melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan dan mengajar mereka erti kesabaran adalah dengan membawa mereka keluar memancing pada hujung minggu atau semasa musim cuti persekolahan.

Memancing merupakan aktiviti luar yang menyeronokkan yang boleh dilakukan oleh pelbagai peringkat umur. Ia juga merupakan salah satu aktiviti berfaedah untuk dilakukan bersama seisi keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan talian kekeluargaan.

Berilah tunjuk ajar kepada kanak-kanak dengan lemah lembut dan sabar seperti mengajar mereka cara menggunakan peralatan pancing, memasang umpan, dan sebagainya. – Agensi
Pastikan cuaca dalam keadaan baik dan tidak hujan pada hari kita turun memancing. – Agensi
Pilih tempat memancing yang sesuai dan jangan abaikan faktor keselamatan kanak-kanak. – Agensi
Sebelum turun memancing, pastikan anda bersedia dengan barang keperluan untuk kanak-kanak seperti membawa bekalan makanan dan minuman yang secukupnya. – Agensi

Walau bagaimanapun membawa kanak-kanak keluar memancing memerlukan kesabaran yang tinggi dan persediaan rapi daripada pihak kita sebagai ibu bapa atau orang dewasa. Ini kerana ia merupakan pengalaman yang baharu buat mereka, oleh itu kita perlu bijak mengawal emosi sekiranya kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengajar mereka dengan penuh tekun dan sabar. Sebelum membawa kanak-kanak keluar memancing kita perlulah mempertimbangkan beberapa faktor untuk memastikan trip memancing mereka seronok dan menarik agar mereka berasa gembira, tidak jemu dan mudah ‘jara’.

Faktor pertama yang perlu kita ambil kira ialah waktu keluar memancing. Seboleh-bolehnya elakkanlah daripada membawa kanak-kanak keluar memancing terlalu awal pagi atau sehingga lewat malam. Jika kanak-kanak tidak mendapat tidur yang secukupnya atau berasa terlalu letih ia boleh menyebabkan mereka berasa kusut dan tidak sabar-sabar untuk pulang serta berkemungkinan mereka akan hilang minat sama sekali kerana menyangka memancing adalah aktiviti yang memenatkan.

Selain itu semak ramalan cuaca terlebih dahulu. Pastikan cuaca dalam keadaan baik dan tidak hujan pada hari kita turun memancing. Memancing dalam keadaan hujan bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan diri kita terutama kanak-kanak, lebih-lebih lagi jika ia diiringi dengan hembusan angin sejuk, bahkan ia juga boleh menjejaskan peluang untuk memperoleh ikan sehingga membuatkan kanak-kanak mudah terasa bosan.

Faktor kedua pula ialah persediaan yang harus dilakukan sebelum turun memancing. Pastikan anda bersedia dengan barang keperluan untuk kanak-kanak. Sekiranya kita tidak terlalu ambil endah dengan lapar dahaga, panas terik matahari, gigitan nyamuk atau tempat beristirahat, jangan samakan diri kita dengan kanak-kanak.

Bawalah bekal air minum dan makanan ringan secukupnya. Bawa payung atau khemah untuk tempat mereka berlindung daripada panas, kerusi tempat duduk berehat, krim atau semburan penghalau serangga, pakaian persalinan dan keperluan-keperluan lain bagi keselesaan mereka semasa berada di padang pancing. Anggaplah ia sebagai satu perkelahan. Tidak salah juga jika anda membawa sama kelengkapan barbeku untuk memasak ikan segar yang baru diperoleh untuk dinikmati bersama di sana.

Faktor ketiga yang perlu kita pertimbangkan ialah pilihan tempat memancing yang sesuai. Tempat yang paling ideal untuk membawa kanak-kanak memancing ialah tempat yang anda yakini terdapatnya banyak ikan di sana dan peluang untuk menaikkan ikan tinggi. Tiada yang lebih membosankan daripada meluangkan masa seharian tanpa merasai ikan menggetu umpan dan gagal mendapat ikan sama sekali. Walau bagaimanapun janganlah mengabaikan faktor keselamatan dengan memilih tempat-tempat yang tidak mesra kanak-kanak. Ikan dapat dicari, anak-anak anugerah Ilahi.

Faktor terakhir yang perlu dipertimbangkan ialah penyediaan peralatan pancing untuk digunakan oleh kanak-kanak. Sediakanlah peralatan yang sesuai, mudah dan selesa untuk digunakan oleh kanak-kanak contohnya set pancing spinning yang ringan dan tidak terlalu panjang. Jika kita mempunyai wang lebih bolehlah menyediakan peralatan pancing khas untuk mereka, lebih baik lagi jika membawa anak-anak ke kedai pancing supaya mereka boleh memilih peralatan mereka sendiri dengan tunjuk ajar daripada kita.

Selain daripada faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan seperti yang dinyatakan di atas, antara perkara lain yang dapat kita lakukan untuk lebih menarik minat kanak-kanak sebelum trip memancing pertama mereka ialah dengan berkongsi kisah-kisah menarik kita semasa memancing. Tidak kiralah kisah lucu, flora dan fauna menarik yang kita lihat, kisah pertarungan kita dengan ikan besar, menunjukkan gambar-gambar atau apa-apa sahaja yang boleh menarik perhatian mereka untuk merasa ternanti-nanti hari yang ditetapkan.

Semasa di padang pancing pula, berilah tunjuk ajar kepada kanak-kanak dengan lemah lembut dan sabar seperti mengajar mereka cara menggunakan peralatan pancing, memasang umpan, mengikat tali pancing, menaikkan ikan, mengendalikan ikan dan lain-lain pengetahuan berguna ketika berada di luar.

Memancing tidak semestinya akan sentiasa membuahkan hasil oleh itu ketika ikan tidak galak memakan umpan gunakanlah masa itu untuk berkomunikasi dan meluangkan masa yang berkualiti dengan mereka. Alihkan perhatian mereka dengan bercakap mengenai alam sekitar, ‘beibun’ dan lain-lain.

Sekiranya ikan masih tidak memakan umpan setelah dua ke tiga jam, jangan tunggu terlalu lama untuk pulang. Duduk menunggu berjam-jam boleh menyebabkan kanak-kanak berasa kurang selesa, tidak gembira dan mudah ‘jara’. Pastikan ia menjadi pengalaman yang seronok dan berharga kepada mereka dan diri kita sendiri.