Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Dalam usaha mempertingkatkan keberkesanan pemberian perkhidmatan kerajaan kepada para pelanggan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan memperkenalkan kaedah pembayaran Pencen Umur Tua (PUT) melalui bank.
Menurut kenyataan diterima daripada JAPEM, bermula April 2020, kaedah pembayaran ini akan ditawarkan sebagai pilihan tambahan kepada para penerima PUT selain daripada kaedah semasa iaitu secara tunai melalui para penghulu dan ketua kampung.
Pembayaran melalui bank akan dikreditkan ke akaun persendirian mereka melalui bank-bank pilihan penerima terdiri daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Baiduri Berhad dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).
Menurut kenyataan itu lagi, pilihan untuk menerima pembayaran PUT melalui bank adalah salah satu langkah bersepadu diperkenalkan KKBS bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan institusi-institusi perbankan bagi memastikan bayaran PUT lebih mudah diakses selain mempermudah penerimaan bayaran PUT mengikut kesesuaian masa mereka sendiri.
Ia juga sejajar dengan persediaan dan penyelarasan bagi mendukung penggunaan Sistem Kebajikan Negara (SKN) daripada aspek membuat dan memproses serta pembayaran PUT secara automatif melalui pengintegrasian bersama Treasury Accounting and Financial Information System (TAFIS).
Para penerima PUT yang memilih kaedah pembayaran tersebut dikehendaki mengisi borang permohonan dari semua cawangan JAPEM di seluruh negara atau melalui penghulu dan ketua kampung masing-masing. Setiap permohonan tertakluk kepada Garis Pandu Pembayaran Pencen Umur Tua Melalui Bank yang disediakan oleh kementerian-kementerian dan institusi kewangan terbabit, peraturan-peraturan di bawah Akta Pencen Umur Tua dan Hilang Upaya (Bab 18); serta terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan oleh institusi-institusi perbankan yang berkuat kuasa pada masa ini.
Para penerima pencen yang ingin mengetahui keterangan lanjut mengenainya bolehlah menghubungi talian 2382911 atau 2381903 sambungan 1142, 1145 atau 1138 atau berkunjung ke Bahagian Perkhidmatan Warga Emas dan Pencen-pencen, Dewan Digadong, Tingkat 1, JAPEM, KKBS, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan serta cawangan pejabat JAPEM di setiap daerah.