Pilihan raya Bolivia 22 Jan – Anez

MOSCOW, 13 NOV – Naib Speaker Kedua Senat Bolivia Jeanine Anez, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara negara itu semalam, mengumumkan bahawa pemilihan presiden akan diadakan selepas anggota baharu suruhanjaya pilihan raya pusat dilantik, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik media tempatan.

“Kami ingin mengadakan pilihan raya baharu secepat mungkin,” Anez dipetik sebagai berkata oleh akhbar El Universal pada Selasa tanpa memberikan tarikh atau rangka masa yang spesifik. Beliau berkata pilihan raya itu mungkin diadakan selepas anggota baharu suruhanjaya tersebut dilantik.

Pada Isnin, Anez berkata pilihan raya baharu di Bolivia perlu diadakan pada 22 Januari 2020.

Menurut perlembagaan Bolivia, jika pemimpin Senat mengambil alih jawatan sebagai presiden sementara di negara itu, pilihan raya baharu perlu diadakan dalam tempoh maksimum 90 hari.

Pilihan raya kontroversi yang berlangsung di Bolivia pada Oktober tidak diiktiraf oleh pembangkang yang diketuai Carlos Mesa selepas beliau menuduh Morales melakukan penipuan.

Menurut keputusan rasmi pilihan raya itu, Morales menang dalam pusi-ngan pertama pengundian.

Pada Ahad, Morales meletak jawatan susulan demonstrasi besar-besaran terhadap kemenangannya dalam pilihan raya itu. – Bernama

Naib Presiden Senat kedua dan ahli politik pembangkang Bolivia Jeanine Anez (tengah), memakai selempang presiden, melambai kepada orang ramai dari beranda Istana Quemadi selepas beliau mengisytiharkan dirinya presiden sementara di La Paz, Bolivia, pada 12 November. – AP