Pilihan raya cari pengganti Merkel Sept 2021

BERLIN, 25 NOV – Kerajaan Jerman hari ini bersetuju dengan tarikh 26 September tahun depan untuk pilihan raya umum untuk memilih pengganti kepada Canselor Angela Merkel, kata jurucakap kerajaan.

Merkel telah berkata beliau tidak akan bertanding untuk penggal kelima dan akan bersara dari politik pada tahun depan selepas 16 tahun menerajui tampuk pentadbiran  kuasa ekonomi Eropah dan negara yang mempunyai penduduk paling ramai dalam Kesatuan Eropah.

Persaraan beliau akan menandakan fasa baharu yang tidak pasti dalam politik Jerman dan Kesatuan Eropah, dengan jawatan presiden disandang oleh Merkel.

“Kerajaan mencadangkan kepada presiden persekutuan 26 September 2021 ditetapkan sebagai tarikh pilihan raya untuk parlimen Bundestag ke-20,” beritahu jurucakap Martina Fietz kepada wartawan.

Presiden Frank-Walter Steinmeier mesti memberikan kelulusan rasmi beliau.

Perlumbaan untuk mengisi jawatan Merkel nampaknya terbuka luas, tatkala parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) masih dibelenggu dalam pergelutan kepimpinan yang telah berlarutan akibat pandemik.

Buat masa sekarang, terdapat tiga calon untuk mengisi jawatan dalam parti terbesar Jerman, dengan pilihan raya yang ditunda sebanyak dua kali untuk ketua baharu kini dijadual pada pertengahan Januari.

Perdana menteri North Rhine-Westphalia Armin Laschet, peguam korporat Friedrich Merz dan pakar hal ehwal luar Norbert Rottgen sedang bersaing untuk jawatan tersebut. – AFP

Canselor Jerman Angela Merkel memakai penutup mulut dan hidung semasa beliau tiba untuk mesyuarat kabinet mingguan kerajaan Jerman di Pejabat Canselor di Berlin kelmarin. – AFP