Pilihan raya Iraq dipantau EU, PBB

BAGHDAD, 7 SEPT – Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar pemerhati untuk memantau pilihan raya parlimen Iraq pada bulan depan, berkata hari ini mereka berharap pengundian tidak dicemari oleh penipuan dan tindakan tidak mengundi.

“Tujuan kami adalah berusaha sedaya upaya agar proses pengundian berjalan dengan lancar,” beritahu ketua dasar asing Josep Borrell pada sidang media di Baghdad.

Beliau berkata misi pemerhati EU untuk pilihan raya pada 10 Oktober akan berada di Iraq sebulan sebelum hari pengundian dan akan tinggal di sana untuk satu bulan selepas itu.

Wakil tertinggi PBB di Iraq, Jeanine Hennis-Plasschaert memberitahu sidang media berasingan bahawa badan dunia juga akan menghantar sekumpulan pasukan pengawas.

“Sebenarnya ia adalah salah satu projek bantuan pilihan raya terbesar PBB di seluruh dunia dengan jumlah lima kali lebih ramai kakitangan PBB berbanding pada 2018,” kata beliau.

Hennis-Plasschaert menggesa warga Iraq supaya jangan memulau pengundian, yang diharapkan beliau akan diadakan secara ‘sah’ dan menggesa anggota calon politik supaya mengelak daripada sebarang percubaan untuk memaksa atau memutarbelitkan sumber pilihan raya”. Pilihan raya di Iraq sebelum ini telah dibelenggu keganasan dan pembelian undi.

Pilihan raya awal merupakan salah satu janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Mustafa al-Kadhemi dalam usaha memenuhi permintaan penunjuk perasaan.

Satu undang-undang pilihan raya baharu juga berkuat kuasa pada tahun lalu, dengan tujuan memecah monopoli yang dikuasai oleh blok parti yang berkongsi kuasa, dan sebaliknya mempromosi calon bebas. – AFP

Menteri Luar Iraq Fouad Hussein (kiri) bertemu dengan Josep Borrell (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di Baghdad pada 6 September 2021. – AFP