Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pilihan raya Israel temui jalan buntu

    BAITULMAQDIS, 12 MAC – Israel terus dicengkam kebuntuan apabila keputusan rasmi pilihan raya gagal menamatkan kemelut politik, walaupun selepas tiga kali pilihan raya diadakan dalam tempoh setahun, lapor agensi berita Xinhua.

    Keputusan pilihan raya minggu lalu menyaksikan tiada pihak mendapat majoriti, dua parti utama parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan parti Biru Putih diketuai bekas ketua tentera Benny Gantz, masing-masing enggan membentuk kerajaan perpaduan.

    Pilihan raya Israel mempertandingkan 120 kerusi Parlimen.

    “Pilihan raya itu memperlihatkan adanya perpecahan dalam negara, bukan disebabkan dasar, tetapi kerana sikap pemimpin,” kata Yonatan Freeman dari Jabatan Sains Politik Universiti Ibrani Baitulmaqdis.

    Freeman berkata Netanyahu dan Gantz sering bertelagah dan tidak sependapat dalam pelbagai isu.

    Blok yang menentang Netanyahu memiliki majoriti di parlimen, malangnya mereka juga tidak sehaluan.

    Gantz, bekas ketua turus Israel dilihat kurang menonjol dan mahir berpolitik, sukar untuknya menerajui blok itu, mengakibatkan akan berlaku lebih banyak perpecahan berbanding sebelum ini, kata Freeman.

    Terdapat gesaan supaya Gantz dan Netanyahu membentuk kerajaan perpaduan untuk mengakhiri krisis politik yang telah berlarutan sejak sekian lama, namun kedua-dua pemimpin enggan berganjak daripada pendirian masing-masing.

    “Keputusan lebih kurang sama dengan pilihan raya sebelum ini dan tiada sebarang perubahan,” kata penyelidik di Institut Demokrasi Israel Assaf Shapira.

    Baru berjinak-jinak dalam arena poilitik, Gantz sebelum ini berikrar tidak akan duduk dalam kerajaan sama dengan perdana menteri yang sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah.

    Gantz belum menerima mandat rasmi daripada Presiden Israel untuk  membentuk gabungan, tetapi beliau dikatakan telah mengadakan rundingan dengan parti Yisrael Beiteinu diketuai Avigdor Lieberman, yang mempunyai tujuh kerusi.

    Untuk mendapat majoriti 61 kerusi, Gantz perlu beralih kepada blok Arab yang memiliki 15 kerusi. Semasa kempen pilihan raya, Gantz berkata partinya tidak akan bekerjasama dengan gabungan parti Arab. Menyedari hakikat bahawa satu-satunya jalan yang ada ialah bergabung dengan blok Arab, Gantz mengambil keputusan untuk “U-turn”, menyebabkan beberapa anggota parti kecewa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda