Pilihan raya Madagascar sengit

ANTANANARIVO, 8 Nov – Mantan presiden Madagascar Andry Rajoelina dan Marc Ravalomanana bersaing sengit dalam pilihan raya presiden negara itu menurut keputusan yang disiarkan secara berasingan oleh suruhanjaya pilihan raya hari ini.

Rajoelina memperoleh 43.5 peratus undian sementara Ravalomanana mencatat 42.44 peratus, menurut keputusan daripada 147 pusat undian daripada 24,852 seluruh negara.

Dalam pilhan raya itu, Hery Rajaonarimampianina ketinggalan 2.93 peratus undian setakat ini.

Suruhanjaya pilihan raya Ceni menganggarkan sejumlah 47.18 peratus telah keluar mengundi.

Rajaonarimampianina belum memberikan sebarang komen.

Marc Ravalomanana berucap di depan penyokongnya di Antananarivo kelmarin selepas pusingan pertama pilihan raya presiden Madagascar. – AFP

Untuk menang, seorang calon perlu mendapatkan 50 peratus undian atau pusingan kedua akan diadakan pada 19 Disember.

Seramai 36 calon bertanding dalam pilihan raya pada kali ini, di mana ia disifatkan sebagai ujian demokratik bagi negara kepulauan Lautan Hindi itu yang mempunyai sejarah rampasan kuasa dan ketidakstabilan.

Saingan utama dijangka adalah antara Rajaonarimampianina, 60, Ravalomanana, 68, dan Rajoelina, 44, menurut penganalisis dan dapatan yang diperoleh daripada pra-undi yang ditolak yang disaksikan oleh AFP.

Ravalomanana dan Rajoelina merupakan musuh ketat dan ini merupakan kali pertama mereka bersaing antara satu dengan yang lain di dalam pilihan raya.

Ravalomanana telah memerintah sejak 2002 hingga 2009 sehingga beliau disingkirkan menerusi rampasan kuasa yang disokong oleh tentera, disusuli dengan Rajoelina yang berkuasa sehingga 2014 dan kemudian Rajaonarimampianina sehingga awal tahun ini.

Ravalomanana dan Rajoelina telah dilarang untuk bertanding pada pilihan raya lalu di bawah tekanan antarabangsa bagi mengelakkan berlakunya keganasan politik yang melanda pulau itu pada 2009. Menurut pihak berkuasa, kempen pilihan raya berjalan dengan lancar tanpa insiden buruk. – AFP