Pilihan raya Myanmar dua tahun lagi

YANGON, 1 OGOS – Ketua junta Myanmar berkata hari ini yang pilihan raya akan diadakan manakala darurat akan dibatalkan menjelang Ogos 2023, melanjutkan tempoh awal pemerintahan tentera yang diberikan sebelumnya selepas Aung San Suu Kyi digulingkan enam bulan lalu.

Negara itu berada dalam kekacauan sejak Februari lalu dan tindakan keras dikenakan hingga mengakibatkan lebih 900 orang terbunuh.

Gelombang koronavirus yang muncul semula itu juga memperluaskan lagi huru-hara dengan banyak hospital kekurangan kakitangan perubatan yang prodemokrasi dengan Bank Dunia meramalkan ekonomi negara itu menguncup sekitar 18 peratus.

Dalam ucapan disiarkan di televisyen, ketua junta, Min Aung Hlaing, menegaskan peruntukan dalam undang-undang darurat akan diteruskan sehingga Ogos 2023.

“Saya berjanji untuk mengadakan pemilihan pelbagai parti tanpa gagal,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menjadikan Myanmar berada dalam genggaman tentera selama hampir dua tahun setengah, bukan seperti dinyatakan sebelum ini satu tahun.

Tentera menggunakan kuasanya dengan mendakwa berlaku penipuan besar-besaran ketika pilihan raya yang menyaksikan parti Liga Nasional Demokrasi (NLD) Suu Kyi menang.

Tentera juga dikatakan menemui lebih 11 juta undi tipu. – AFP