Pilihan raya parlimen Rusia bermula

MOSCOW, 17 SEPT – Pilihan Raya Parlimen yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari di Rusia, bermula hari ini dengan rakyat di wilayah Far East menjadi kumpulan yang pertama keluar mengundi.

Pilihan raya negara terbesar di dunia itu membabitkan 11 zon waktu, bermula jam 8 pagi tadi yang menyaksikan rakyat di Chukotka dan Kamchatka di wilayah terbabit bersiap sedia untuk mengundi ketika penduduk di kawasan lain baru mahu masuk tidur.

Bagaimanapun, pemilihan kali ini dicemari dengan insiden tindakan keras terhadap pengkritik Kremlin serta media bebas menjelang pilihan raya.

Tindakan keras yang pertama seumpamanya itu menyaksikan pesaing utama Presiden Vladimir Putin, Alexei Navalny, dipenjarakan pada Januari lalu sebelum organisasinya diharamkan.

Sementara ramai yang kecewa kerana terpaksa bergelut dengan kemerosotan pendapatan dan tidak bercadang untuk keluar mengundi kali ini, Putin pula menggesa rakyat Rusia supaya memilih pembentukan Parlimen yang ‘kuat’.

“Saya menaruh harapan tinggi kepada kedudukan sivik anda yang bertanggungjawab, seimbang dan sifat patriotik,” kata Putin dalam satu ucapan melalui rakaman video.

Pemimpin Rusia berusia 68 tahun itu sedang menjalani kuarantin selepas Kremlin minggu ini mengumumkan kes jangkitan COVID-19 dikesan dalam kalangan individu rapat dengan beliau.

Tinjauan yang dijalankan oleh pusat kajian pendapat awam VTsIOM, baru-baru ini, menunjukkan kurang 30 peratus berhasrat untuk mengundi parti pemerintah kali ini, menurun berbanding 40 hingga 45 peratus dalam tinjauan beberapa minggu menjelang Pilihan Raya Parlimen 2016. – AFP

Seorang lelaki membuang undi di stesen pengundian semasa pilihan raya parlimen di Moscow, Rusia kelmarin. – AP