Pilihan raya parlimen Vietnam bermula

HANOI, 23 MEI – Lebih 69 juta penduduk keluar mengundi di seluruh Vietnam hari ini bagi memilih ahli parlimen Dewan Perhimpunan (NA) dan anggota Majlis Rakyat di semua peringkat, lapor Xinhua.

Diadakan setiap lima tahun sekali, pilihan raya tahun ini bermula 7 pagi waktu tempatan membabitkan sekitar 80,000 pusat pengundian seluruh negara, menurut Agensi Berita Vietnam.

Sejumlah 866 calon mengintai 500 kerusi NA ke-15 dan 3,726 perwakilan akan dipilih daripada 6,199 calon bagi mengisi kerusi Majlis Rakyat peringkat wilayah. Seramai 22,952 akan berebut kerusi Majlis Rakyat Wilayah dan 242,312 lagi untuk peringkat mukim, lapor Majlis Pilihan Raya Vietnam.

Pilihan raya tahun ini berlangsung ekoran perkembangan rumit wabak COVID-19 di negara itu. Pihak berkuasa meminta pengundi supaya mematuhi segala protokol kawalan dan pencegahan, termasuk memakai penutup mulut dan hidung dan mengekalkan penjarakan fizikal di pusat mengundi.

Waktu ketibaan semua pengundi akan direkodkan untuk digunakan bagi pengesanan kontak andai berlaku kes positif atau kebarangkalian kes, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.

Rakyat Vietnam ketika mengundi di stesen undian di Hanoi pada 23 Mei. – AFP

Peti undi khas turut dibawa ke hospital, pusat kuarantin serta kawasan yang dikenakan perintah sekatan COVID-19 bagi memastikan hak mengundi rakyat terjaga, menurut majlis pilihan raya.

Kotak itu akan dinyahkuman sebelum dan selepas mengundi serta ditandai sebagai peti yang disyaki berpotensi berbahaya sebagai amaran risiko jangkitan dan diasingkan.

Keputusan penuh pilihan raya dijangka diumum dalam masa 20 hari, menurut kenyataan majlis pilihan raya.

Pengundian dijadualkan tamat pada jam 7 petang waktu tempatan hari ini.

Pada sesi terakhir NA ke-14, beberapa jawatan kepemimpinan tinggi ditukar.

Pada 31 Mac, Vuong Dinh Hue dipilih sebagai pengerusi baru NA diikuti Nguyen Xuan Phuc menjadi presiden baharu dan Pham Minh Chinh sebagai perdana menteri pada 5 April. – Bernama