Pilihan raya pertama Palestin bakal diadakan

RAMALLAH, PALESTIN, 24 SEPT – Pemerintah Gaza Hamas dan pesaing mereka di Tebing Barat, Fatah, telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya Palestin pertama dalam hampir 15 tahun, beritahu pegawai daripada kedua-dua pihak kepada AFP hari ini.

Pilihan raya dijadual diadakan dalam enam bulan di bawah perjanjian yang dicapai di antara pemimpin Fatah Mahmud Abbas dan ketua politik Hamas Ismail Haniyeh.

“Kami telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya perundangan pertama, seterusnya pilihan raya presiden Pihak Berkuasa Palestin, dan akhirnya majlis Pertubuhan Pembebasan Palestin,” kata Jubril Rajub, pegawai kanan Fatah.

Pilihan raya parlimen Palestin terakhir diadakan pada 2006 apabila Hamas meraih kemenangan besar.

Saleh al-Arouri, pegawai kanan Hamas, berkata perjanjian dicapai semasa mesyuarat yang diadakan di Turki.

“Kali ini kami mencapai kata sepakat sebenar,” beritahu beliau kepada AFP menerusi telefon dari Istanbul.

“Pepecahan telah memusnahkan perjuangan kami dan kami akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian,” tambah Arouri.

Kedua-dua pihak membentuk sebuah kerajaan perpaduan berikutan pengundian pada 2006, tetapi menemui kegagalan dan pertempuran meletus di Semenanjung Gaza di antara kedua-dua pihak pada tahun berikutnya.

Rundingan terbaharu telah didorong oleh dua negara Arab – Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain – yang memulihkan hubungan mereka dengan Israel.

Perjanjian itu melanggar persetujuan Arab bahawa hubungan dengan negara Yahudi tidak harus dipulihkan sehingga ia telah menandatangani perjanjian perdamaian dengan Palestin. – AFP