COLOMBO, 19 MAC – Sri Lanka telah menangguh pilihan raya parlimen yang dijadual diadakan pada bulan depan untuk mengawal penularan koronavirus baharu.
“Walaupun jika WHO berkata Sri Lanka bebas daripada virus ini esok, kami tidak dapat mengadakan pilihan raya pada 25 April,” kata ketua pilihan raya Mahinda Deshapriya hari ini.
“Sama ada kami boleh mengadakan pengundian pada Mei, Jun atau Julai akan bergantung pada betapa cepat virus ini diatasi.”
Presiden Gotabaya Rajapaksa telah menaruh harapan pilihan raya akan memberikan partinya dua pertiga majoriti dalam parlimen, membenarkannya meminda perlembagaan dan menjamin kuasa yang lebih meluas kepadanya.
Sri Lanka mempunyai 53 kes virus. Minggu ini negara itu menutup lapangan terbang antarabangsanya dan mengenakan perintah berkurung kepada 850,000 penduduk di ibu negara supaya tinggal dalam rumah. – AFP