STONE TOWN, TANZANIA, 28 OKT – Calon pembangkang presiden Tanzania Tundu Lissu hari ini mengecam ‘penyelewengan berleluasa’ dalam pilihan raya yang diadakan selepas penindasan bertahun lamanya di bawah Presiden John Magufuli, yang berusaha memenangi penggal kedua.
Lama dianggap pusat kestabilan di Afrika Timur, pemerhati berkata Tanzania telah melihat demokrasi disekat dan tindakan keras ke atas kebebasan bersuara di bawah Magufuli dan parti Chama Cha Mapinduzi (CCM), yang telah berkuasa sejak 1961. Pemerhati meluahkan kebimbangan serius mengenai pilihan raya sebelum hari pengundian, dan keganasan meletus di Zanzibar sehari sebelum pengundian, meragut nyawa 10 orang menurut pembangkang.
“Laporan pengundian menunjukkan berlakunya penyelewengan berleluasa dari segi menghalang ejen pengundian kami daripada memasuki stesen undi,” kata Lissu di Twitter, mendakwa kotak undi telah pun diisi di beberapa lokasi.
“Jika ia berterusan, tindakan demokratik besar-besaran merupakan satu-satunya pilihan untuk melindungi integriti pilihan raya.” – AFP