KUALA LUMPUR, 14 Jan – Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) akan menjadi perubah penting kerana selain memberikan pihak berkuasa Malaysia cara untuk menguatkuasakan standard pensijilan, ia juga akan lebih menonjol di pasaran antarabangsa serta menjenamakan minyak sawitnya sebagai pilihan utama, kata satu jurnal.
Buat permulaannya, MSPO akan memberikan pihak berkuasa Malaysia cara untuk menguatkuasakan standard pensijilan, iaitu satu perbezaan penting dengan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).
“Penguatkuasaan itu sendiri akan menjadi lebih berkesan kerana MSPO berkait dengan instrumen sedia ada, contohnya, lesen rasmi yang diperlukan untuk mereka yang beroperasi dalam perniagaan minyak sawit dan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” kata jurnal tersebut yang bertajuk: ‘Membina Masa Depan Lestari Bersama: Minyak Sawit Malaysia dan Penggunaan Eropah.’
Kelebihan lain MSPO yang akan memanfaatkan industri ialah dengan standard pensijilan sendiri yang diterima di peringkat antarabangsa, Malaysia boleh menonjol di pasaran antarabangsa dan menjenamakan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama, kata jurnal itu yang ditulis secara bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Dr Kalyana Sundram, Pengurus Serantau di Eropah, Uthaya Kumar dan Perunding, Frank Vogelgesang.
Oleh itu, Malaysia melihat banyak kelebihan dalam MSPO walaupun kos yang tinggi dan banyak usaha yang diperlukan untuk menjayakannya. – Bernama