Pilihan warna Taycan lebih menarik

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Taycan dan Taycan Cross Turismo memulakan tahun model baharu pada September dengan perubahan yang meluas di mana disebabkan perkembangan teknologi, rangkaian kereta sport elektrik hari ke hari akan ditambah baik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Porsche Brunei, dengan pilihan Paint to Sample dan Paint to Sample Plus yang baharu, pilihan warna yang luar biasa dan peribadi kini dapat direalisasikan. Sebagai contoh, Taycan kini boleh dicat warna Rubystar klasik tahun 90an atau dengan warna Acid Green.

Naib Presiden Barisan Model Taycan, Kevin Giek dipetik sebagai berkata, “Perkembangan teknikal kenderaan kami yang berterusan adalah sebahagian daripada DNA Porsche.

“Rangkaian Taycan elektrik kami berkembang dan maju. Cross Turismo terbaharu, yang diperkenalkan pada musim bunga lalu, terbukti sangat po-pular dalam kalangan pelanggan kami, seperti yang ditunjukkan menerusi jumlah tempahan yang tinggi,” tambah beliau yang baru dilantik pada April lalu.

Kenyataan menjelaskan, Taycan kini tersedia dengan Paint to Sample dan Paint to Sample Plus di samping 17 warna cat standard.

Paint to Sample membolehkan mewarna dengan 65 warna tambahan, pada masa ini. Ini merangkumi warna Moonlight Blue Metallic, Acid Green, Rubystar, Riviera Blue dan Viola Metallic yang memberikan ciri jenama tersebut.

Paint to Sample Plus pula memberikan kebebasan kepada pelanggan dalam pilihan warna, bahkan membolehkan mereka memadankan Taycan dengan aksesori kegemaran mereka.

Satu lagi pembaharuan adalah Porsche Destination Charging di mana dengan perkhidmatan eksklusif itu, pelanggan dapat mengecas model Porsche hibrid elektrik atau plug-in mereka secara percuma di destinasi yang sangat popular.

Ia sudah menawarkan lebih daripada 2,000 titik pengecasan AC di lebih dari 50 negara di lokasi seperti hotel, restoran, lapangan terbang, pusat membeli-belah, kelab sukan dan marina terpilih – dan pengembangan rangkaian terus dilaksanakan.

Pelanggan boleh memilih warna Rubystar klasik untuk kereta Taycan dan Taycan Cross Turismo. – Gambar serahan Porsche Brunei