Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Semua lapisan kepimpinan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) diingatkan untuk berpegang kepada nilai-nilai kepimpinan yang kukuh dan memimpin melalui teladan.
Kepentingan tanggungjawab TLDB dalam mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan maritim negara ditekankan Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry bin Haji Serudi @ Haji Seruji dalam ucapannya sempena Hari Ulang Tahun (HUT) TLDB ke-57 yang berlangsung di Padang Kawad TLDB, hari ini.
Perbarisan bagi Sambutan HUT TLDB ke-57 itu diketuai oleh Leftenan Komander Mohammad Hasmin bin Haji Hashim, TLDB.
Selesai ucapan tersebut, perbarisan diteruskan dengan penyampaian anugerah dan sijil kepada pegawai dan anggota TLDB yang telah menunjukkan pencapaian terbaik dan sikap profesionalisme dalam kerjaya mereka, yang disempurnakan oleh Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry.
Penyampaian sijil dan anugerah berkenaan termasuk Lencana Pegawai Peperangan Utama yang dianugerahkan kepada Leftenan Komander Mohd Husaini bin Haji Mohammad Sofian dan Leftenan Komander Mohammad Shahrul Idham bin Haji Bungsu.
Sijil Pegawai Pemerintah Kapal Peronda dianugerahkan kepada Leftenan Komander Mohammad Nabil bin Jalil, dan Leftenan Komander Nazurah binti Haji Mahaleh.
Sijil Juragan Kapal dianugerahkan kepada Pegawai Waran 2 Shahirul Affendy bin Mohammad Rakawi, Pegawai Waran 2 Addey Affendy bin Ali Hussin dan Pegawai Waran 2 Mohammad Sopian bin Abdul Rahman.
Seramai 14 orang pegawai TLDB juga telah dianugerahkan Sijil Pegawai Anjungan bagi menandakan kecekapan mereka di laut sebagai pegawai anjungan dalam kapal-kapal TLDB.
Anugerah-anugerah lain termasuk Anugerah Sauh Emas yang diberikan kepada Pegawai Waran 2 Mohammad Ariwan bin Mohammad, Anugerah Bintang Harapan kepada Laskar Muda Muhammad Arifshahdan bin Matzainin serta Anugerah Jurutera Terbaik kepada Leftenan Awangku Abdul Rauf Bahar bin Pengiran Haji Yusof dan Pegawai Waran 2 Alihan bin Haji Puteh.
Leftenan Nabilah Sa’adatul Hayat binti Shamsul Hayat juga telah diberikan Anugerah ROR Master atas pencapaian nilai cemerlang dalam peperiksaan bulanan Rules of the Road.
Anugerah Terbaik juga diberikan kepada pegawai-pegawai dan anggota lelaki dan wanita terbaik yang telah menunjukkan keupayaan kecergasan yang cemerlang.
Anugerah Jasmani Terbaik Lelaki diberikan kepada Leftenan Wan Izz Zafir Alawi bin Mohammad Kassim dan Laskar Muda Haji Syaza Naqiuddin bin Haji Nafiah, manakala Anugerah Jasmani Terbaik Wanita diberikan kepada Leftenan Madya Dayangku Nur Amrina binti Pengiran Abdul Aziz dan Laskar Noorsuriani binti Rusman.
Bagi memberkati majlis berkenaan, Doa Selamat telah dibacakan oleh Pegawai Agama TLDB, Awang Muhammad Sabqi bin Nasar dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai di Padang Kawad TLDB.
Sempena HUT TLDB ke-57, beberapa siri acara juga telah dijalankan termasuk kempen kebersihan di tanah perkuburan Islam, sumbangan kepada mantan-mantan TLDB, acara-acara keagamaan seperti majlis tahlil di Kubah Makam Diraja, majlis khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran.
Beberapa acara juga akan diteruskan termasuk Majlis Makan Malam Beradat di mes-mes TLDB, kempen derma darah dan juga Hari Terbuka Pejabat pada hujung 2022.