Pinda notis lucut hak wang bapa Jho Low

KUALA LUMPUR, 7 JULAI – Pihak pendakwaan memohon untuk meminda notis pelucuthakan wang berjumlah RM48.9 juta dalam akaun bank milik bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali Jho Low, yang disita kerajaan.

Pada 9 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM48.9 juta dalam tujuh akaun bank milik Tan Sri Larry Low Hock Peng selepas tiada pihak ketiga hadir di mahkamah bagi menuntut wang terbabit.

Bagaimanapun, dipercayai kerajaan belum lagi memperoleh hak ke atas wang tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memberitahu pemberita bahawa pendakwaan memohon lanjutan tempoh untuk memfailkan hujahan berhubung permohonan meminda notis pelucuthakan itu.

Beliau berkata permohonan akan didengar pada 24 Julai ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Difahamkan permohonan itu difailkan memandangkan terdapat sedikit perbezaan berbanding notis asal berkaitan nama bank yang terlibat dan jumlah wang. – Bernama