Pindaan enakmen penyu kemenangan moral pejuang konservasi

KUALA TERENGGANU – Larangan penjualan semua spesies telur penyu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun depan merupakan satu kemenangan moral dalam perjuangan panjang sejarah konservasi penyu khususnya di Terengganu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Uzair Rusli berkata perjuangan itu telah melangkaui tiga generasi sejak penubuhan Unit Penyelidikan Penyu pada 1984. 

“Kita sedar budaya memakan telur penyu ini amat sebati dengan warga tempatan dan banyak cabaran perlu dihadapi semua pihak yang terlibat untuk meyakinkan peminat telur penyu bahawa apa yang diamalkan selama ini adalah tidak lestari malah akan menjejaskan kestabilan ekosistem marin negara.

“Kami mula melihat tanda positif perubahan masyarakat sejak akhir-akhir ini dan dalam masa sama kerajaan negeri Terengganu amat serius dalam mengimplementasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang turut menggariskan kelestarian alam sekitar yang disambut baik pelbagai pihak,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada minggu lepas telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021), yang antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan spesies hidupan marin itu.

Pindaan itu bertujuan melindungi dan mengelakkan kepupusan semua spesies penyu termasuk tuntung laut sekali gus meningkatkan jumlah denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini. – Bernama