‘Pindah Jakarta ke Pulau Borneo’

JAKARTA, INDONESIA, 16 OGOS – Presiden Indonesia hari ini merayu bagi sokongan untuk memindahkan ibu kota negara itu dari sebuah kota yang penuh sesak, tenggelam dan tercemar ke Pulau Borneo semasa memberi ucapan pada Hari Kebangsaan bagi menandai ulang tahun ke-74 kemerdekaan.

Presiden Joko Widodo memberitahu anggota parlimen dan pegawai tertinggi pada Hari Kemerdekaan itu bahawa ibu kota bukan hanya simbol identiti kebangsaan, tetapi juga menonjolkan kemajuannya.

“Saya meminta dukungan dan sokongan daripada semua rakyat Indonesia untuk memindahkan ibu negara kita ke Pulau Borneo,” kata Widodo. “Ini adalah untuk merealisasikan kesaksamaan dan keadilan ekonomi, ini adalah untuk visi ke hadapan Indonesia.”

Perbincangan selama bertahun yang lalu mengenai pembentukan ibu kota baharu di Pulau Borneo difokuskan pada bulan April lalu apabila Widodo meluluskan pelan ibu kota untuk berpindah dari Jakarta ke pulau Jawa, yang paling ramai penduduknya.

Beliau tidak menyebut lokasi baharu itu tetapi kawasan berbukit di wilayah Kalimantan Timur di Borneo sering dikhabarkan sebagai tapak yang mungkin dijadikan sebagai lokasi ibu kota baharu negara itu.

Joko Widodo berpakaian tradisional Nusa Tenggara Barat ketika menyampaikan ucapannya di dewan parlimen di Jakarta, kelmarin. – AFP

Pemindahan tersebut disebabkan oleh pembangunan besar-besaran di Jakarta sehingga menyebabkan pengekstrakan air tanah yang tidak terkawal sekali gus mengakibatkan pencemaran besar-besaran ke atas sungai dan air tanah yang membekalkan air di kawasan bandar. Kesesakan dianggarkan menelan kos ekonomi sebanyak AS$6.5 bilion setahun.

Meningkatkan infrastruktur yang tidak mencukupi dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara adalah dasar pemerintahan Widodo dan membantunya memenangi penggal kedua pada pilihan raya April lalu.

Dalam satu wawancara dengan The Associated Press bulan lalu, Widodo mengulangi bahawa beliau mahu membentuk sebuah ibu kota baharu, menunjukkan ia seharusnya berada di luar Jawa.

“Kami mahu memisahkan ibu kota, pusat pemerintahan dan Jakarta sebagai pusat perniagaan dan ekonomi,” katanya.

Menteri Perancangan Pembangunan Bambang Brodjonegoro berkata ibu kota baharu memerlukan kawasan seluas 30,000 hingga 40,000 hektar (kira-kira 74,000 hingga 99,000 ekar) dan populasi sehingga 1.5 juta. – AP