Pingat emas Rayzam Shah ‘dirompak’

NEW CLARK CITY, FILIPINA, 10 DIS – Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil mendakwa pingat emas yang sepatutnya dimenangi jaguh lari berpagar 110 meter negara, Rayzam Shah Wan Sofian seolah-olah telah ‘dirompak’ menerusi keputusan berat sebelah bahagian teknikal pertandingan olahraga Sukan SEA ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina, malam tadi.

Beliau mendakwa pihak teknikal pertandingan jelas bersifat tidak adil dengan hanya membuat keputusan berdasarkan pandangan sudut kanan sahaja, walaupun peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) mensyaratkan keputusan ‘photo finish’ perlu dinilai daripada sudut kanan dan kiri bagi menentukan pemenang sebenar, selain wakil negara tidak dibenarkan untuk melihat semula video rakaman perlumbaan berkenaan.

Rayzam Shah dan atlet naturalisasi tuan rumah, Clinton Kingsley Bautista mencatatkan masa yang sama iaitu 13.97 saat dalam acara berkenaan, namun pihak teknikal pertandingan memberikan kemenangan kepada Clinton berdasarkan ‘photo finish’, sekaligus menyaksikan atlet kelahiran Sabah itu gagal mengekalkan emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Wakil Laos, Anousone Xaysa sekadar meraih gangsa dengan catatan masa 13.99 saat. – Bernama

Atlet olahraga Rayzam Shah Wan Sofian beraksi pada acara lari berpagar di Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga, New Clark City. – Bernama