WASHINGTON, 10 NOV – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kelmarin berkata ia telah mencapai persetujuan dengan Jordan mengenai program pinjaman baharu selama empat tahun bernilai kira-kira AS$1.2 bilion untuk membantu negara itu menghadapi kejutan kewangan.
Perjanjian itu, yang masih tertakluk kepada kelulusan pengurusan IMF, akan menggantikan program sedia ada yang akan tamat awal tahun depan.
IMF menjangkakan ekonomi Jordan akan berkembang 2.6 peratus pada 2023, dan tidak melebihi 2.6 peratus tahun depan.
“Persekitaran luaran kekal mencabar,” kata Ketua Misi IMF untuk Jordan, Ron van Rooden dalam satu kenyataan, merujuk kepada ketegangan global dan serantau yang tinggi, kadar faedah yang tinggi dan pertumbuhan global yang tidak sekata.
Van Rooden berkata Jordan berada pada kedudukan yang baik untuk menangani sebarang kejutan ekonomi. “Matlamatnya adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam jangka sederhana bagi menangani pengangguran tinggi yang berterusan, sambil memastikan kestabilan makroekonomi yang berterusan,” tambahnya. – AFP
