Pinjaman mikro kredit cetus kebimbangan

MOSCOW, 18 OGOS – Mesin baharu yang muncul di pusat membeli-belah Rusia kelihatan tidak inovatif tatkala para pengguna memasukkan pasport mereka dan hanya menerima pinjaman kecil dalam beberapa minit.

Tetapi peranti yang memberi pinjaman di pusat membeli-belah Saint Petersburg pada kadar 365 peratus tahunan itu adalah satu lagi tanda ledakan kredit yang menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa.

Penduduk Rusia, yang telah melihat penurunan kuasa membeli dalam beberapa tahun kebelakangan, membuat lebih banyak pinjaman untuk membeli barangan atau hanya untuk memenuhi keperluan. Tahap pinjaman telah meningkat mendadak dalam 18 bulan terakhir di mana menteri ekonominya memperingatkan ia mungkin menyumbang kepada kemelesetan dalam ekonomi.

Bagaimanapun, mengehadkan kredit akan menjejaskan pembiayaan isi rumah yang kadang-kadang penting, dan boleh menyebabkan pertumbuhan yang tidak stabil. Ekonomi Rusia terjejas teruk pada 2014 dengan harga minyak yang jatuh dan sekatan Barat terhadap peranan Moscow di Ukraine, dan ia belum pulih sepenuhnya.

“Keadaan pinjaman yang ketat boleh menjejaskan pertumbuhan dengan serta-merta,” kata Ketua Ekonomi Alfa Bank, Natalia Orlova, kepada AFP.

“Pertumbuhan pinjaman runcit yang berterusan kini merupakan faktor penyokong utama,” katanya.

“Tetapi keadaan itu boleh membawa kepada kemerosotan menjelang 2021,” Menteri Ekonomi Maxim Oreshkin memberi amaran dalam satu temu bual baru-baru ini dengan stesen radio Ekho Moskvy.

Beliau berkata langkah-langkah sedang disediakan untuk membantu penduduk Rusia yang membuat pinjaman pembiayaan. – AFP

VashiDengi, sebuah institusi pembiayaan mikro di Moscow, adalah salah satu daripada pemberi pinjaman yang memicu peningkatan kredit oleh pengguna Rusia. – AFP