Pique terlibat tipu cukai

MADRID, 10 JULAI – Pemain Barcelona, Gerard Pique akan diarahkan untuk membayar 2.1 juta euro kepada pihak berkuasa cukai Sepanyol selepas pertuduhan ke atasnya bagi penipuan hak imej disahkan, menurut satu sumber memberitahu AFP hari ini.

Menurut satu keputusan pada 13 Mei, Mahkamah Kebangsaan negara itu telah menolak rayaun Pique ke atas hukuman 2016 yang memerlukan bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu membayar 1.5 juta euro berupa tunggakan cukai dan denda 600,000 euro.

Tribunal menyimpulkan bahawa Pique telah memalsukan penyerahan hak imejnya kepada syarikat Kerad Project miliknya untuk mengurangkan pembayaran cukai pada 2008, 2009 dan 2010.

Pique, pemenang Piala Dunia dan Euro mempunyai hak untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung Sepanyol.

Keputusan itu dibuat sebulan selepas isterinya, Shakira, disoal-siasat oleh seorang juri berdekatan Bandar Catalan mengenai pengelakkan cukar bernilai 14.5 juta euro.

Pasukan media Shakira kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa artis itu tidak bersalah.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Pique di Camp Nou, Neymar juga disiasat oleh pihak berkuasa fiskal Sepanyol mengenai bonus yang diterimanya di Barca serta perpindahan rekod dunia ke Paris Saint-Germain.

Seorang lagi rakan sepasukan Pique, Lionel Messi, membayar denda sebanyak dua juta euro pada 2016 bagi kesalahan mengelak cukai dan turut dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan.

Hukuman penjara itu kemudian dikurangkan menjadi denda 252,000 euro, bersama dengan 400 euro sehari dari tempoh hukuman penjaranya. – AFP