Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

Pique wira El Clasico

MIAMI, 30 Julai – Gerard Pique menjaringkan gol kemenangan Barcelona ke atas Real Madrid, pada pertembungan menarik El Clasico Piala Juara-Juara Antarabangsa yang berakhir dengan keputusan 3-2, pagi tadi.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu dengan bijak melepasi pertahanan Real menampan bola berpunca sepakan percuma Neymar pada minit ke-50, sekali gus memberikan kemenangan buat Barca di hadapan lebih 66,014 penonton di Stadium Hard Rock, di sini.

Lionel Messi yang beraksi selama 64 minit sebelum dikeluarkan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga selepas gerakannya gagal dikekang pertahanan Real sebelum rembatannya tertampan kaki Raphael Varane dan menerjah gawang.

Benteng Real jelas tampak rapuh apabila Barcelona mendahului 2-0 lima minit kemudian menerusi Ivan Rakitic.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Zinedine Zidane pantas memperkemas permainan dengan gol pertama diperoleh pada minit ke-14 menerusi Mateo Kovacic.

Barcelona meraikan Piala Juara-Juara Antarabangsa selepas menewaskan Real Madrid 3-2 di Stadium Hard Rock. - AFP
Barcelona meraikan Piala Juara-Juara Antarabangsa selepas menewaskan Real Madrid 3-2 di Stadium Hard Rock. – AFP

Ia diikuti gol penyamaan oleh Marco Asensio pada minit ke-36 dan mengheret permainan menjadi amat menarik untuk disaksikan sebelum kemenangan memihak Barca.

Perlawanan itu tidak lebih daripada hanya perlawanan pra musim dan jelasnya tidak menjejaskan rekod keseluruhan dua musuh ketat itu, 93 menang buat Real, 91 buat Barcelona, yang telah memenangi pertembungan terakhir ketika Messi menjadi wira, gol ke-500 buat kelab.

Pada Mei lalu, Real jelas berada di puncak apabila menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah namun kehadiran mereka di Amerika Syarikat (AS) penuh dengan kekecewaan.

Selepas tewas kepada Manchester United menerusi sepakan penalti, Manchester City kemudian membelasah mereka 4-1 pada aksi di Los Angeles.

Barcelona dalam pada itu berjaya menewaskan United dan juara Itali, Juventus namun kempen pra musim kelab Catalan itu ketika ini diselubungi spekulasi perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain yang dijangka memecah rekod dunia. – AFP

Artikel sebelum iniWarisan kuih tradisi
Artikel seterusnyaRahsia di sebalik kemanisan madu
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -