Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pirates berkas 29 individu, rampas 531.37g dadah

    Gambar serahan BKN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Biro Kawalan Narkotik (BKN) sekali lagi berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dalam Operasi Pirates yang dijalankan di 11 buah lokasi.

    Operasi yang dijalankan pada 24 Julai lalu selama lima hari berturut-turut itu telah menahan 23 lelaki dan enam perempuan terdiri daripada rakyat tempatan dan warganegara asing berumur antara 19 ke 63 tahun.

    Antara yang ditangkap termasuk sepasang suami isteri yang dikenal pasti sebagai salah satu dalang sindiket kemasukan dadah jenis syabu ke negara ini.

    Sindiket yang didalangi oleh sepasang suami isteri itu telah lama beroperasi di sebalik individu-individu yang dipergunakan dan berhasil mengaut keuntungan haram daripada pengedaran serta penyeludupan dadah jenis syabu dan pelbagai barang tegahan seperti rokok, minuman keras dan alat vape serta cecairnya.

    Daripada hasil siasatan awal, pasangan berkenaan beroperasi sebagai satu sindiket terancang bagi aktiviti penyeludupan dari negara jiran.

    Antara yang dirampas dalam Operasi Pirates di Daerah Belait dan Brunei Muara.

    Taktik utama daripada pasangan berkenaan berserta beberapa individu yang lain adalah menggunakan perahu ke laut dengan alasan untuk memancing sambil mengambil bekalan dadah serta barang-barang tegahan melalui perjumpaan bersama kontak dari negara jiran.

    Beberapa tempat kediaman dan satu ladang di Daerah Belait telah digunakan untuk menyembunyikan bekalan dadah syabu dan pelbagai barang tegahan.

    Serbuan turut dijalankan ke atas 11 lokasi di Kampung Sungai Lalit, Kampung Agis-Agis, Kampung Panaga di Daerah Belait; Kampung Jerudong, Kampung Rimba, Kampung Mentiri, Kampung Salambigar, Kampung Sungai Buloh, Kampung Serasa, Kampung Sungai Besar, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Daerah Brunei dan Muara.

    Secara keseluruhan, BKN telah merampas dadah dipercayai syabu seberat 531.37 gram, wang tunai yang dipercayai hasil penjualan dadah dan barang-barang tegahan berjumlah $64,568; S$2,168; RM3,581; Rp1,359,000 dan 50 euro.

    Selain itu, turut dirampas adalah 12 buah kereta, dua perahu, motosikal, dron, barang-barang kemas, alat-alat perkakas untuk menghisap dadah, alat-alat timbangan digital disyaki untuk kegunaan penjualan dadah, beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan penjualan dan alat-alat pancing.

    Nilai rampasan keseluruhan dadah syabu tersebut bernilai lebih $100,000 yang boleh digunakan untuk 5,300 orang penagih.

    Turut dirampas adalah barang-barang tegahan kastam iaitu beberapa kotak cecair vape, karton rokok dan minuman keras yang telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan lanjut.

    Kesemua tangkapan tersebut masih dalam siasatan BKN di bawah kesalahan-kesalahan seksyen tertentu.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...