Pirelli akhiri ujian tayar F1 18 inci

Oleh Syahmi Hassan

MILAN, 4 NOV – Kempen ujian Pirelli untuk tayar Formula 1 bersaiz 18 inci baharu tahun depan, menggantikan saiz 13 inci pada masa ini, telah berakhir semalam di Paul Ricard, Perancis, yang menghoskan ujian tayar basah terakhir bersama Alpine dan Daniil Kvyat.

Menurut kenyataan Pirelli, peralihan kepada tayar berprofil rendah baharu itu menggambarkan revolusi teknikal untuk kemuncak sukan permotoran dunia, memerlukan program penyelidikan dan pembangunan yang intensif, menampilkan ujian dalaman dan luaran.

Berbanding penutup 13 inci generasi sebelumnya, pertukaran kepada 18 inci menandakan reka bentuk bersih, dengan jurutera Pirelli memikirkan semula setiap elemen tayar, daripada profil ke struktur hingga sebatian.

Selama 28 hari ujian trek telah dijalankan untuk tayar 18 inci baharu itu sepanjang 2021, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36 termasuk hari ujian yang dijalankan pada penghujung 2019 dan awal 2020, sebelum penangguhan program tersebut disebabkan pandemik COVID- 19.

Kempen pembangunan tayar 18-inci itu adalah operasi komprehensif dari awal hingga akhir, melibatkan lebih 10,000 jam ujian dalaman, lebih daripada 5,000 jam simulasi, dan lebih daripada 70 prototaip dibangunkan secara maya, yang menghasilkan 30 spesifikasi fizikal yang diuji di trek oleh para pemandu.

Ujian bagi tayar Formula 1 bersaiz 18 inci baharu telah berakhir dan dijangka akan digunakan pada kenderaan baharu F1 tahun depan. – Gambar serahan Pirelli

Sebanyak 4,267 pusingan telah dipandu, merangkumi lebih daripada 20,000 kilometer, kira-kira separuh daripada lilitan bumi. Bilangan set yang digunakan ialah 392, bersamaan dengan 1,568 tayar.

Hampir semua pasukan mengambil bahagian dalam program ujian Pirelli termasuk 19 pemandu dengan 15 daripadanya adalah pesaing tetap dalam kejohanan.

Ketua Perlumbaan F1 dan Kereta Pirelli, Mario Isola dipetik berkata, “Dengan ujian basah terbaharu ini, kami akhirnya menutup jadual pembangunan kami untuk tayar 18 inci baharu.

Tahun lepas, disebabkan pandemik COVID-19 kami perlu menyemak semula program ujian kami sepenuhnya, membatalkan ujian di trek untuk menumpukan pada simulasi serta pembangunan dan pemodelan maya.”

Menurutnya, sistem saringan maya tersebut membantu mereka mengoptimumkan bilangan prototaip fizikal yang dihasilkan dan kembali ke ujian di trek selama 28 hari sepanjang 2021.

Jelasnya lagi, keputusan yang diperoleh sehingga kini telah dicapai dengan input daripada pemandu yang sedang bersaing dalam kejohanan, aspek penting bagi mereka, walaupun menggunakan mule cars.

“Tahun depan, kami masih mempunyai beberapa hari ujian, yang akan membolehkan kami memperhalus tayar 2022 dengan kereta baharu jika perlu,” tambah Mario Isola.

Beliau turut mengongsikan bahawa apabila spesifikasi telah disahkan oleh FIA nanti, pemandu akan berpeluang mencuba produk akhir tayar 18 inci pada ujian selepas Grand Prix Abu Dhabi, walaupun mereka perlu menunggu ujian pra-musim tahun depan untuk melihat tayar itu beraksi pada kereta tahun 2022 buat kali pertama.