Pirelli dedah punca tayar pecah

PARIS, 5 OGOS – Pirelli berkata kelmarin bahawa masalah tayar dalam Grand Prix Britain, yang menyaksikan Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan dengan hanya tiga roda, adalah disebabkan oleh penggunaan tayar set kedua yang lama.

Hamilton bertahan untuk menamatkan garisan penamat Ahad lalu selepas memandu dengan satu tayar pecah dalam hampir keseluruhan pusingan akhir. Sementara rakan sepasukan Hamilton dari Mercedes, Valtteri Bottas dan Carlos Sainz Jr dari McLaren, turut mengalami masalah tayar pancit dalam perlumbaan di Silverstone, di mana kereta keselamatan diarahkan keluar sebanyak dua kali.

Bottas berada di tempat kedua apabila tayar hancur, manakala Sainz berada di kedudukan keempat apabila dia merasai sesuatu yang tidak kena. Kedua-dua mereka menamatkan perlumbaan di luar mata.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pirelli, pembekal tayar eksklusif Formula Satu, berkata bahawa ‘sebab utama’ di sebalik masalah tayar itu adalah ‘satu set keadaan perlumbaan individu yang menyebabkan peng-gunaan tayar kedua yang sangat lama’.

“Tempoh kedua kereta keselamatan dikeluarkan telah mendorong hampir semua pasukan untuk menjangkakan berhenti di pit stop dan meneruskan perlumbaan dengan terlalu lama: sekitar 40 pusingan, iaitu lebih dari tiga suku dari keseluruhan jarak perlumbaan dalam salah satu litar yang paling sukar,” menurut pengilang dari Itali itu.

“Ditambah dengan kelajuan yang bertambah pada kereta Formula Satu 2020 (kedudukan hadapan mencatatkan masa 1.2 lebih pantas berbanding 2019) yang menjadikan pusingan terakhir Grand Prix Britain semakin sukar, disebabkan oleh tekanan terbesar dihasilkan oleh kereta-kereta terpantas dalam sejarah F1.

“Keputusan keseluruhan adalah keadaan operasi tayar paling mencabar. Ini menyebabkan tayar kiri depan (yang terkenal kerana kerja kerasnya di Silverstone) diletakkan di bawah tekanan maksimum setelah jumlah pusingan yang sangat tinggi, dengan menyebabkan kehausan yang tinggi sehingga menyebabkan kurang perlindungan dari kekuatan ekstrem dalam perlumbaan.” – AFP