Pirelli hasil tayar FSC pertama dunia

MILAN, 17 OGOS – Pirelli telah menjadi syarikat pertama di dunia yang mengeluarkan tayar yang diperakui Majlis Pengelolaan Hutan (FSC) direka untuk kenderaan BMW X5 xDrive45e Plug-in-Hybrid. Tayar berkenaan mengandungi getah asli dan rayon yang diperakui oleh FSC dan melambangkan era baharu untuk pengeluaran tayar mampan.

Sijil pengurusan hutan FSC mengesahkan ladang dikendalikan dalam cara yang memelihara kepelbagaian biologi serta memanfaatkan kehidupan penduduk tempatan sementara memastikan ia mengekalkan kelangsungan ekonomi.

Tayar Pirelli P Zero, tayar diperakui FSC pertama di dunia menggunakan getah asli dan rayon FSC yang disumber dari ladang yang diperakui FSC akan dibekalkan dalam saiz 275/35 R22 untuk roda depan dan saiz 315/30 R22 untuk roda belakang kenderaan BMW X5 xDrive45e Plug-in-Hybrid.

Tayar P Zero ini telah dibangunkan oleh Pirelli mengikut strategi ‘kesesuaian terbaik’. Justeru memenuhi keperluan prestasi pengeluar Jerman untuk model popular ini, sementara menyumbang kepada falsafah hijau kenderaan hibrid ini.

Tayar baharu ini akan dikeluarkan secara eksklusif di kilang Georgia di Amerika Syarikat. Ciri-ciri istimewa tayar berkenaan adalah ia mempunyai rintangan rendah, yang mempertingkat penggunaan minyak dan mengurangkan pelepasan yang mencemari alam sekitar, selain tahap bunyi adalah lebih rendah.

Naib Presiden Kanan Kemampanan dan Mobiliti Masa Depan Pirelli, Giovanni Tronchetti Provera berkata, “Dengan tayar yang diperakui FSC pertama di dunia, Pirelli sekali lagi membuktikan komitmennya untuk mencapai matlamat mencabar dari segi kemampanan, bukti terhadap usahanya ke atas bahan inovatif dan proses pengeluaran canggih. Kami akan terus melabur dalam pertumbuhan mampan untuk planet kami, menyedari ia juga penting untuk masa depan perniagaan kami.”

“Sebagai pengeluar premium, kami telah komited untuk mempertingkat penananam getah asli dan menambah ketelusan dalam rangkaian pembekal sejak 2015,” kata ahli Lembaga Pengurusan BMG AG yang bertanggungjawab terhadap pembelian dan rangkaian pembekal, Andreas Webndt.

“Penggunaan tayar yang dibuat daripada getah asli merupakan pencapaian perintisan untuk industri kami. Dalam cara ini, kami membantu memelihara biodiversiti dan hutan untuk mengurangkan perubahan iklim.”

Tayar P Zero keluaran Pirelli akan digunakan dalam kenderaan BMW X5 xDrive45e Plug-in-Hybrid. – Gambar serahan TyreMart