PITAS, 18 Feb – Memiliki pantai cantik serta pelbagai tempat tarikan pelancongan untuk diterokai membolehkan Pitas menjadi pusat pertumbuhan pelancongan yang baharu di Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata tumpuan akan diberikan kepada daerah ini dalam pelaksanaan pembangunan infrastruktur pelancongan.
“Saya akan hubungi Anggota Dewan Undangan Negeri Pitas Datuk Bolkiah Ismail dan pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Pitas Datuk Seri Dr Ruddy Awah untuk mengadakan perbincangan tentang menjadikan Pitas sebagai kawasan pertumbuhan baharu wilayah utara Sabah,” katanya pada Pesta Tahun Baharu Cina 1Malaysia Peringkat Pitas di sini, malam tadi.
Masidi berkata kementerian juga akan memainkan peranannya dalam memastikan pelaksanaan pembangunan pelancongan di daerah ini terutamanya di Kampung Solimpodon Laut. “Sabah sedang bergerak seiring dengan pembangunan negara dalam bidang pelancongan kerana daya tarikan yang dimilikinya, di samping keramahan penduduknya dan perpaduan kepimpinan yang ada,” katanya.
Menurutnya tahun lepas, Sabah mencatat kira-kira 3.7 juta ketibaan pelancong yang menghasilkan pendapatan pelancongan berjumlah hampir RM7.8 bilion.
“Dengan peningkatan ketibaan pelancong, jumlah hotel turut bertambah tetapi masih tidak dapat memenuhi permintaan, yang mendorong kemunculan sektor pelancongan luar bandar melalui pembangunan inap desa dan hotel,” katanya.
Masidi berkata pembangunan pesat industri pelancongan di negeri ini menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai lapangan kedua paling sibuk di Malaysia, selepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
“Sekurang-kurangnya 184 penerbangan antarabangsa mendarat di KKIA setiap minggu, 410 penerbangan domestk dan 86 penerbangan terus dari China. Jumlah ini lebih tinggi daripada yang dicatatkan di KLIA,” katanya.
Beliau berkata sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan-Borneo Sabah iaitu dari Tuaran ke Kudat akan dilaksanakan tidak lama lagi dan ini bakal memberi menfaat ekonomi kepada Pitas dan kawasan sekitarnya.
“Kami berharap masyarakat peniaga tempatan akan memanfaatkan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan ini dan saya mahu menasihatkan pemilik tanah supaya jangan menjual tanah masing-masing kerana nilai hartanah itu akan naik,” katanya. – Bernama