Piza istimewa kembali popular di Itali

NAPLES, ITALI – Kayu dalam ketuhar piza Naples membakar sekali lagi, memberikan rangsangan yang simbolik dan menyelerakan kepada penduduk Neapolitan selepas perintah berkurung selama dua bulan menandakan berakhirnya kerinduan terhadap makanan paling ikonik dan kegemaran penduduk Itali ini.

Restoran piza dibuka semula pada malam Isnin di tempat kelahiran piza, walaupun di bawah sekatan dan hanya untuk pesanan dan penghantaran rumah sahaja.

Sementara restoran piza di Rom dan tempat lain dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran, ia tidak dibenarkan di Naples disebabkan kebimbangan bandar yang sesak dan mempunyai penduduk padat itu mungkin menjadi kawasan tumpuan baharu untuk jangkitan COVID-19.

Gabenor rantau berdekatan Campania, Vincenzo De Luca, menguatkuasakan langkah perintah berkurung yang ketat, mengetahui hospital Campania tidak dapat mengendali aliran masuk pesakit beramai-ramai.

Akhirnya, Campania mempunyai wabak yang berjaya dikawal iaitu kira-kira 4,300 orang yang dijangkiti, separuh di antara mereka tidak perlu dimasukkan ke hospital.

Minyak zaitun dibubuh di atas piza yang sedia dihantar ke rumah di restoran piza Caputo, Naples, Itali. – AP

Dengan seluruh Itali melancarkan pembukaan semula secara berperingkat-peringkat, De Luca membatalkan pengharaman ke atas penghantaran piza serta penghantaran rumah dari bar, kedai pastri, kedai ais krim dan restoran.

“Sudah tentunya ia adalah permulaan awal untuk usahawan, penting untuk kami dan untuk rantau kami, bandar serta negara kami,” kata Giovanni Pezzuto, pemilik restoran piza. “Ia adalah simbol harapan untuk firma kecil yang boleh memulakan operasi secara beransur-ansur.”

Bagaimanapun, ia bukan pembukaan semula secara menyeluruh. Pelanggan hanya boleh memesan menerusi telefon, bukan secara individu, dan semua perniagaan mesti ditutup pada pukul 10 malam. Restoran piza perlu sentiasa dibersihkan dan pekerja mesti memakai sarung tangan dan penutup mulut dan hidung.

Vincenzo Capuano, pemilik restoran piza Capuano, berkata pembukaan semula sebahagian restoran akan membantu ekonomi Campania disebabkan semua ramuannya diperoleh di dalam negara.

“Untuk menghasilkan piza, saya perlu membeli tepung tempatan dari Naples, tomato tempatan San Marzano, saya perlu membeli ubi kentang, bawang,” kata beliau.

Tanpa sokongan ini untuk ekonomi tempatan, ‘selepas krisis kesihatan kami mungkin mengalami krisis ekonomi yang jauh lebih teruk,” tambah beliau.

Itali adalah negara pertama di Barat yang dilanda wabak COVID-19 dan telah mencatat lebih daripada 26,000 kematian, jumlah tertinggi di Eropah. Walau bagaimanapun, pusat wabak Itali, adalah di rantau utara Lombardy.

Pegawai berkata Campania, di selatan, dan rantau berdekatan dengan semenanjung Itali sebahagian besar terlepas daripada wabak teruk disebabkan kerajaan menutup seluruh negara tepat pada masanya.

Bar dan restoran di seluruh negara dijangka dibenarkan dibuka semula untuk perkhidmatan dalam negara pada Jun, tetapi hanya dengan syarat peraturan penjarakan sosial dan sanitasi yang ketat dikuatkuasakan. – AP