Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Piza kayu api jemapoh mahu luaskan rangkaian niaga

    MELAKA – Walaupun telah mempunyai empat cawangan perusahaan pembuatan pizza menggunakan oven batu dalam tempoh tiga tahun, pengasas Jemapoh Pizza Kayu Api, Hamzah Hassan, 35, masih belum berasa selesa dengan pencapaian tersebut.

    Beliau berkata usaha mengembangkan rangkaian perusahaan itu sedang giat dilakukan menerusi pelbagai platform, dengan menyertai gerai jualan di pelbagai program berskala besar termasuk Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka.

    “Perusahaan Jemapoh Pizza Kayu Api bermula di Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan sudah tiba masanya untuk kita keluar untuk memperomosikan piza kayu api, menggunakan ketuhar batu.

    “Kita kini telah mempunyai empat cawangan iaitu Jemapoh, Nilai, Seremban di Negeri Sembilan dan Gom-bak di Selangor,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Hamzah berkata antara cabaran utama bagi mempromosikan produk itu di luar kawasan ialah isu logistik, kerana perlu membawa ketuhar batu bersaiz besar dan berat, namun ia bukan penghalang untuk mengembangkan perusahaannya itu.

    Pekerja Jemapoh Pizza Kayu Api menunjukkan piza yang telah siap dibakar menggunakan dapur kayu api ketika tinjauan di gerai pizza tersebut pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh. – Bernama
    Antara pilihan ‘topping pizza’ yang dijual ialah Jemapoh Signature, Tuna Tikey, Peperoni Pilah, Vege Classic dan Chimory. – Bernama
    Pengasas Jemapoh Pizza Kayu Api, Hamzah Hassan, sibuk menyediakan piza menggunakan dapur kayu api ketika tinjauan di gerainya pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di MITC. – Bernama
    Jemapoh Pizza Kayu Api yang sedang dibakar menggunakan dapur kayu api. – Bernama
    Kauthar Mohamad Kamaludin, menguli doh Jemapoh Pizza Kayu Api sebelum meletakkan lauk di atas doh tersebut dan seterusnya dibakar menggunakan dapur kayu api. – Bernama

    Beliau berkata inovasi terhadap model kelima ketuhar batu seberat kira-kira 300 kilogram dibuatnya agar ia mudah dibawa ke mana-mana tapak jualan, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.

    Hamzah berkata walaupun secara mata kasar pembuatan menggunakan teknik tradisonal itu dilihat rumit, namun hanya sekitar dua minit masa diperlukan untuk membakar sekeping piza pada suhu antara 300 hingga 400 darjah celsius, berbanding antara lapan hingga 10 minit sekeping jika menggunakan ketuhar biasa.

    Mengulas prestasi jualan di Jelajah AKM Melaka, Hamzah berkata pembuatan piza dilakukan bersama isteri, Kauthar Mohamad Kamaludin, 35, serta seorang pembantu mendapat sambutan agak menggalakkan.

    “Pada hari pertama karnival, kita berjaya menjual 80 keping piza dan kita menjangkakan jumlah jualan akan meningkat kepada 100 hingga 150 pada hari kedua dan ketiga karnival berlangsung.

    “Ada pengunjung baharu kenal, ada yang dah tahu tetapi tak pernah cuba… mungkin benda ini (Jemapoh Pizza Kayu Api) dah tular dan dah lama orang tahu terutama orang Melaka, tetapi hari ini baharu berpeluang mencubanya di sini,” katanya yang beroperasi di Slot Citarasa Keluarga Malaysia di hadapan dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

    Beliau berkata sekeping piza bersaiz 20 inci dijual pada harga sekitar RM25 dan memerlukan antara 5 ke 7 minit untuk disiapkan. Katanya antara pilihan ‘topping pizza’ yang dijual ialah Jemapoh Signature, Tuna Tikey, Peperoni Pilah, Vege Classic dan Chimory. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...