Pizza Express kurangkan 1,300 pekerja

LONDON, 30 OKT – Rangkaian restoran Pizza Express semalam mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 1,300 pekerja tatkala sektor hospitaliti UK terjejas oleh sekatan serantau untuk membendung gelombang koronavirus kedua.

Ia dilakukan di samping 1,100 pengurangan pekerja yang diumumkan syarikat pada Ogos serta penutupan puluhan restoran.

Pizza Express berkata tidak ada restoran yang akan ditutup di bawah dasar terbaharu ini.

“Dijangka 1,300 pekerja akan terjejas di seluruh 370 restoran Pizza Express UK,” menurut kenyataan semalam.

Zoe Bowley, pengarah urusan di Pizza Express menambah: “Malangnya peningkatan baru-baru ini dalam kes COVID-19 sekali lagi menyebabkan pelanggan merosot di seluruh UK.

“Memandangkan ia dijangka berterusan selama beberapa bulan, kami perlu membuat perubahan yang akan memberi lebih impak kepada anggota kakitangan kami.”

Pizza Express berkata restoran di pusat bandar telah terjejas paling teruk. – AFP