Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PJP rangkul Piala Pesuruhjaya Polis

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Pasukan Pesuruhjaya Polis (PJP) muncul juara dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak antara Cawangan bagi Pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang telah diadakan kelmarin di Padang Bola Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.

    Kejohanan yang telah bermula pada 20 September lalu itu menyaksikan pertemuan antara Pasukan Pesuruhjaya Polis (PJP) dan Cawangan ‘A’, di mana Pasukan PJP muncul sebagai pemenang bagi perlawanan tersebut dengan jaringan 5-3.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali.

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin; pengerusi-pengerusi cawangan PPDB, pegawai-pegawai dan juga anggota PPDB.

    Selesai perlawanan, tetamu kehormat turut berkesudian menyampaikan hadiah kepada Pemain Terbaik, Insp Norfaez bin Awang Sayang, Penjaga Gawang Terbaik, Insp Nyaring Anak Jaya dan juga Penjaring Terbanyak, DSP Mohd ‘Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh.

    Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian hadiah dan piala bagi Kejohanan Piala Pesuruhjaya Polis, iaitu tempat ketiga kepada Cawangan ‘B’, naib juara kepada Cawangan ‘A’ dan Pasukan PJP selaku juara bagi kejohanan tersebut.

    Antara aksi para pemain semasa kejohanan tersebut berlangsung di Padang Bola Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda