PJSC umum rawatan laser canggih di Hospital RIPAS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah mengumumkan pemasangan perkhidmatan laser canggih di Maxillofacial, Facial Plastic and Reconstructive Surgery Centre di Kompleks Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PJSC, baru-baru ini, perkhidmatan itu menambah lagi kapasiti dalam memperbaiki sesetengah keadaan di muka yang tidak dapat dirawat keseluruhannya dengan pembedahan seperti sebagai contoh parut jerawat.

Laser yang ditambah kepada perkhidmatan berkenaan ialah Cutera Excel V, CO2, radiofrequency, medilite C6 serta tambahan, pusat itu juga mempunyai perkhidmatan microdermabrasion.

Kenyataan menyatakan bahawa laser dwi gelombang dengan alat tangan yang boleh ditukar ganti menawarkan peluang yang lebih baik untuk merawat lesi vaskular benigna kulit dan lesi berpigmen kulit dengan menyasarkan secara selektif pigmen darah dan melanin, tanpa menyebabkan kerosakan haba pada tisu sekeliling.

Laser berkenaan juga boleh digunakan untuk menghilangkan tatu. Ia amat berguna dalam merawat parut merah awal dan urat nipis di muka. Manfaat lain laser berkenaan adalah untuk penyingkiran rambut halus yang tidak diingini, tompok matahari (sunspots), photodamage dan memperbaiki kedutan di muka di mana ia menyumbangkan kepada peremajaan kulit.