KUALA LUMPUR, 2 OKT – Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha mendapatkan status baharu siri profesional daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Ini berikutan UCI memperkenalkan kategori baharu bagi kalendar perlumbaan jelajah berbasikal 2020 dengan memperkenalkan siri profesional bagi menggantikan status Hors Class (HC).
Selepas perlumbaan berbasikal ikonik negara kehilangan status 2.0 HC kerana ketiadaan penyertaan pasukan Jelajah Profesional dunia di bawah UCI tahun ini, Presiden PKLBM, Datuk Abu Samah Wahab, berkata rayuan kepada UCI bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama KBS, Isnin depan.
“Ia adalah untuk menyertai Siri Profesional yang baru diperkenalkan UCI kerana ‘hors class’ sudah tiada pada musim depan,” katanya pada majlis pengumuman Opimax Holdings Sdn Bhd sebagai penaja utama edisi sulung Tour of Peninsular (ToP) 2019, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh,dilaporkan berkata, status perlumbaan LTdL diturunkan kepada UCI 2.1, tahun depan. – Bernama


































