Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
Tidak dapat dinafikan bahawa golongan belia yang merupakan aset penting negara adalah jentera utama dalam menggerakkan dan menentukan hala tuju negara dan mereka merupakan elemen penting dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
Mereka juga merupakan penerus serta pemimpin yang akan menerajui hala tuju pembangunan dan kelangsungan negara pada masa hadapan.
Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk memberikan didikan, bimbingan dan dorongan kepada golongan belia supaya menjadi golongan yang mengenali jati diri, memiliki jiwa besar, bergiat aktif dan cemerlang dalam keusahawanan, industri kreatif dan mencipta jiwa belia yang berbakti melalui kesukarelawan.
Sehubungan itu, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) sebagai program terunggul yang memberikan pengetahuan, kesedaran dan pendedahan yang sangat bermanfaat untuk pelatih-pelatih PKBN khususnya dalam mempersiapkan mereka untuk mencurahkan khidmat bakti yang tulus dan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi kepada ugama, raja dan negara tercinta sesuai dengan moto PKBN iaitu ‘Bersedia, Berkhidmat dan Berbakti’.
Pada masa yang sama, belia selaku ejen perubahan dan pembangunan harus menerima hakikat peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus pembangunan negara dan peranan ilmu serta pengetahuan yang mereka peroleh dan manfaatkan.


PKBN mantapkan disiplin diri belia
Setelah mula diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu daripada program rintis hingga kepada taman latihan Program PKBN Pengambilan ke-9 baru-baru ini, PKBN dilihat sebagai sebuah program yang berjaya dari segi matlamatnya untuk melahirkan belia yang bersedia, berkhidmat dan berbakti.
“Program PKBN merupakan sebuah program yang mustahak bagi belia-belia sekarang ini. Setelah memasuki program ini, belia-belia kita yang terlibat dalam program ini, dapat mengenali apa pengorbanan, cabaran di dunia luar.”
Pandangan itu dikongsi oleh ayah kepada salah seorang peserta PKBN Pengambilan ke-9, Pengiran Haji Asli bin Pengiran Haji Ismail di mana beliau menambah menerusi penyertaan dalam program itu, para belia yang berada di Kem Latihan PKBN diberikan didikan untuk hidup berdikari, memantapkan disiplin diri daripada pelbagai aspek termasuk disiplin berkawan, makan, minum serta pergaulan.
Baginya, latihan yang diberikan yang teratur itu adalah amat penting kerana belia itu adalah aset di masa akan datang di mana program itu dapat membantu masa depan mereka dalam mencari pekerjaan yang relevan dengan latihan yang diberikan.
Secara peribadi, Pengiran Haji Asli berkata bahawa program itu banyak merubah cara hidup peserta termasuk anaknya, Dayang Nursyahmina Abdullah @ Pengiran Haji Asli, di mana sebelum menyertai program itu, mereka biasa bersama keluarga dan rakan-rakan tetapi semasa program berkenaan, mereka berada jauh daripada keluarga dan rakan-rakan di mana mereka dilatih untuk terus melatih ketabahan hati serta belajar hidup berdikari.
Beliau mendedahkan bahawa anaknya pada awal berasa sedih berjauhan daripada keluarga tetapi kini, anaknya merasa bangga kerana berpeluang untuk menyertai serta berjaya menamatkan program latihan selama tiga bulan itu.
Mengulas mengenai dengan perubahan yang dapat dilihat olehnya dalam diri anaknya, beliau mengakui bahawa anaknya kini lebih cergas serta benar-benar menerima cabaran sepanjang latihannya di mana beliau belajar untuk lebih berdisiplin dan berdikari.
Pengiran Haji Asli turut menyatakan penghargaan kepada para jurulatih yang memberikan didikan, bimbingan dan latihan kepada para pelatih sepanjang tiga bulan itu, di mana mereka mengajar mereka erti sebenar hidup berdikari.
Beliau berharap selepas menamatkan latihan itu, para peserta program akan terus mengamalkan pelajaran serta didikan yang mereka peroleh sepanjang latihan tiga bulan itu.
“Jika mereka dapat mengamalkan semua yang dipelajari, mereka itu benar-benar menjiwai, mempertahankan ketekunan serta disiplin yang ditanam sepanjang latihan mereka dalam PKBN.”
Mengajar erti hidup berdikari
Harapan itu turut dikongsi oleh seorang penjaga bagi peserta PKBN Pengambilan ke-9, Dayang Jafinah binti Haji Abdul Timbul di mana beliau percaya latihan yang ditempuh oleh para peserta PKBN termasuk, Awang Muhd Akmal Shafiq bin Abdullah Mohd Ali, banyak mematangkan diri mereka dan menjadikan mereka belia yang lebih berdikari, dedikasi dan komited kepada berkhidmat untuk masyarakat.
Beliau berkata bahawa Awang Muhd Akmal Shafiq yang memilih untuk menyertai PKBN dan yakin bahawa latihan itu telah mengajar erti hidup berdikari dan ketekunan menempuh cabaran dalam dirinya.
Dayang Jafinah menyatakan bahawa Muhd Akmal dapat menyesuaikan diri dengan latihan yang dikendalikan oleh PKBN dengan baik kerana beliau aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum di sekolah dahulu termasuk menyertai Pasukan Kadet Polis dan kegiatan memanah.
PKBN merupakan program pembangunan belia yang unik di mana ia bercirikan sifat-sifat dan cara kehidupan orang Brunei yang sentiasa mendaulatkan raja, mendukung konsep Negara Melayu Islam Beraja, hidup aman damai serta tidak camah mata.
Oleh itu, menjadi harapan bahawa setiap belia yang menyertai dan menjalani program berkenaan akan dapat menghayati, memahami dan mengambil iktibar daripada semua kegiatan, jerih payah dan penat lelah yang telah mereka lalui.
Setiap kegiatan dan pembelajaran yang dilalui oleh para peserta program mempunyai matlamatnya tersendiri di mana kesemuanya menjurus kepada meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai nilai-nilai kenegaraan, keusahawanan, pembentukan jati diri dan akhlak yang murni serta menanamkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dengan hasrat utama untuk melahirkan golongan belia yang dinamik, progresif serta tahan lasak.