Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, sudah tiba masanya untuk kita menuai hasil daripada pelaburan dalam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).
Titah Baginda, setiap pelatih mempunyai potensi dan kebolehan tertentu di mana potensi itu jika dipupuk, akan membuahkan keupayaan dan kepakaran yang tinggi.
Namun yang penting, titah Baginda, kita juga akan memerhatikan bakat dan cara mereka berfikir atau bertindak, sejauh manakah cara itu digunakan untuk kepentingan Negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian pada Majlis Perbarisan Sempena Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-6 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Temburong, hari ini.
Seramai 357 orang pelatih terdiri daripada 280 orang pelatih lelaki dan 77 orang pelatih perempuan berjaya menamatkan latihan mereka selama empat bulan bermula 4 Disember tahun lalu.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, PKBN telah berjalan agak lama bermula dengan program rintis pertama pada 2011 sehingga membawa kepada pengambilan keenam pada tahun 2016/2017 ini.
“Alhamdulillah, ia juga telah mempunyai kem latihannya yang kekal. Perjalanan PKBN yang panjang ini sudah sewajarnya mampu untuk menilai tentang tujuan PKBN diwujudkan iaitu untuk melahirkan individu-individu yang berbakti kepada negara.”
Titah Baginda, soal keberkesanan PKBN tidaklah perlu berbangkit kerana jumlah para pelatih yang saban tahun meningkat, sudah cukup untuk menjadi bukti berlakunya perkembangan yang sihat.
“Hanya apa yang perlu bagi Task Force (Pasukan Petugas) PKBN ialah melipatgandakan usahanya untuk menyediakan program-program yang bermanfaat bagi lepasan para pelatih PKBN mencurahkan khidmat,” tegas Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, dengan moto ‘Bersedia, Berkhidmat dan Berbakti’, para pelatih PKBN sudah sewajarnya menunjukkan kepada kita bahawa mereka itu memang benar-benar berkebolehan dan kreatif. Inilah cabaran besar mereka.


Titah Baginda lagi, perlu diingat, satu peranan asasi mereka ialah memikul kerja-kerja sukarela dan selaku sukarelawan, mereka pada bila-bila masa perlu bersedia untuk menyumbangkan khidmat, sama ada dalam keadaan biasa mahupun lebih-lebih lagi ketika berlaku musibah.
“Inilah dasar belia kita. Dasar ini perlu mantap untuk menjamin ketelusan dan kecekapan dalam berkhidmat. Pihak berkenaan perlu menekankan perkara ini sehingga ia benar-benar difahami dan dipegang kuat oleh para pelatih.
“Jika dasar tidak difahami dan dihayati, semua khidmat akan boleh jadi seperti timbul tenggelam. Jika ada mood baik, baru orang buat, sementara kalau mood tidak baik, orang tidak akan buat,” tegas Baginda lagi.
Kerana itu, titah Baginda, sangat perlu supaya dasar atau konsep berkenaan diperkukuhkan. Adapun dasar atau konsep sukarela, sifatnya adalah luhur dan dinamik. Ia tidak boleh dibayangi oleh sifat jemu atau malas.
Menurut Baginda, para pelatih PKBN perlu diikat dalam satu ikatan. Ikatan itu ialah dasar bagi organisasi.
Ia boleh dijelaskan melalui apa yang termaktub dalam perlembagaan atau peraturan dan juga boleh dilihat pada logo umpamanya.

Semua ini bertujuan untuk memotivasi para sukarelawan supaya tetap komited dengan khidmat kepada masyarakat dan negara.
“Beta amat optimis dengan kaum belia para hari ini, dari sudut mereka itu suka melakukan kerja-kerja amal dalam pelbagai bidang. Begitu juga kaum belia dikenali sebagai suka berpersatuan.”
Titah Baginda, kecenderungan seperti itu sangat bagus untuk diteruskan kerana berkumpul dan berinteraksi sesama belia boleh mencetuskan idea-idea besar dan baru yang sangat berfaedah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri titah dengan mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pelatih PKBN ke-6 yang menamatkan latihan mereka pada hari ini dan berharap agar cebisan daripada pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka menerusi PKBN akan menjadikan PKBN sentiasa istimewa di hati dan mata para pelatih dan juga di hati dan mata para ibu bapa dan penjaga.
“Di luar jangkauan latihan adalah diharapkan bahawa alam Kem PKBN akan terus menerus menjadi tenaga, kekuatan atau ‘force’ yang digalati,” titah Baginda.