Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PKBN teruskan kegiatan kerohanian

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Sebagai program tahunan, pelatih-pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) pengambilan ke-7 telah mengerjakan solat Subuh berjemaah bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang julung-julung kalinya diadakan Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, di sini, hari ini.

    Selesai solat Subuh berjemaah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Seri Paduka Haji Abidin beredar ke Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bagi menyaksikan upacara menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan, pembacaan ikrar, sorak PKBN dan nyanyian lagu ‘Sedia Berbakti’.

    Yang Berhormat Dato kemudian dibawa menyaksikan Sesi Latihan Jasmani oleh para pelatih dan bagi mengakhiri lawatan berkenaan, beliau bersarapan pagi bersama semua pelatih PKBN.

    Solat subuh berjemaah di Masjid Mohamed Bolkiah merupakan yang pertama diadakan bagi program PKBN tahun ini.
    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan sumbangan wakaf kepada imam Masjid Mohamed Bolkiah.

    Hadir di majlis solat subuh berjemaah tersebut ialah pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohamed Bolkiah.

    Majlis berkenaan juga bertujuan bagi mendedahkan para pelatih untuk sentiasa cenderung kepada aspek-aspek keagamaan dengan secara holistik dan sosial dengan menunaikan solat subuh berjemaah di masjid-masjid dan balai ibadat.

    Para pelatih dan pihak PKBN pengambilan ke-7 melahirkan rasa berbesar hati atas kehadiran Menteri Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta rombongan bagi memberikan semangat jitu kepada para pelatih dalam mengharungi kehidupan dengan tabah dalam membina jati diri demi agama, bangsa dan negara serta memartabatkan imej negara menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir sesuai dengan konsep Melayu Islam Beraja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda