PKBN wadah bina sahsiah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

TEMBURONG, 14 Mac – Proses pembangunan belia bukan mudah kerana memerlukan usaha padu semua peringkat masyarakat sama ada melalui program yang diusahakan oleh kerajaan mahupun melalui program yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di luar kerajaan.

Salah satu contoh program yang menjanjikan harapan tinggi ialah Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) kerana program ini diyakini mampu untuk melahirkan belia yang baik, berdisiplin tinggi serta memiliki jati diri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian semasa Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-8, hari ini.

Titah Baginda, dalam era globalisasi, harapan adalah tipis untuk melihat pendidikan ukhrawi menjadi pilihan. Kerana itu, tidak hairan jika dunia kini ketandusan generasi yang kuat agama. Sebaliknya, yang lumrah ialah generasi yang lemah pegangan agama.

“Namun menyedari ini, Negara Brunei Darussalam sama sekali tidak akan membiarkan setiap generasi yang ada jauh daripada agama tetapi akan terus konsisten menanam nilai-nilai Islam ke jalan kehidupan mereka, sama ada di sekolah, pusat-pusat pengajian dan termasuk juga melalui kursus-kursus seperti yang berjalan dalam kem latihan PKBN,” titah Baginda Sultan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan memeriksa Barisan Hadapan Kawalan-kawalan Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-8 di Kem Latihan PKBN, Batu Apoi.

“Kerana kesannya yang baik, latihan PKBN berkenaan semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Ia semakin diyakini selaku wadah yang mampu untuk membina sahsiah dan memperkasa semangat patriotisme bangsa.

“Sahsiah yang kukuh, yang berhias dengan semangat patriotisme sangatlah dipentingkan oleh negara kerana jika sahsiah rapuh dan tidak berhias dengan semangat patriotisme, maka ia adalah ibarat jasad tidak bermaya. Bayangkan kalau jasad tidak bermaya, apakah yang mampu untuk disumbangkan?.

“Kerana itu, supaya para belia khasnya mereka yang menyertai PKBN ini tetap dengan sahsiah mereka yang unggul, maka kursus yang diberikan adalah bertitik tolak kepada pengukuhan jati diri, ketahanan jasmani dan kesucian budi pekerti atau rohani. Manakala semua ini dapat dicapai, maka itulah kebanggaan kita bersama,” titah Baginda.

Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai tujuan utama PKBN, di mana ia dapat dikumpulkan sebagai usaha untuk menjana ketahanan melalui pemerkasaan para belia supaya mereka lebih aktif dan kreatif dalam kerjaya masing-masing.

“Kita tidak mahu para belia kita hanya asyik berseronok sahaja tanpa lebih memikirkan masa depan yang panjang yang penuh dengan cabaran. Hanya belia yang sedar dan berpemikiran sahaja yang mampu untuk menjadi pasak pada negara,” titah Baginda.

“Para belia mesti kaya dengan azam untuk berbakti, bukan untuk menjadi beban kepada negara dan masyarakat. Inilah janji suci yang perlu ada ditanam dalam jiwa setiap belia,” titah Baginda lagi.