PKK terima tamparan hebat

GENEVA, 17 DIS – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan kelmarin berkata kumpulan pengganas PKK kini menerima tamparan paling hebat dalam sejarahnya, lapor agensi berita Anadolu.

Bercakap di Geneva ketika menerima wakil-wakil Eropah dari Kesatuan Demokrat Antarabangsa, Erdogan memuji operasi anti keganasan Turki di Syria.

“Kumpulan pengganas PKK, di luar mahupun di dalam sempadan kami, kini menerima tamparan paling hebat dalam sejarahnya,” kata beliau.

Erdogan berkata dengan menjalankan tiga operasi anti keganasan di Syria sejak tiga tahun lepas, Turki telah memusnahkan koridor keganasan yang cuba diwujudkan oleh PKK di selatan sempadan negara itu.

Beliau berkata operasi anti keganasan Turki juga merupakan satu langkah kritikal ke arah menjamin integriti wilayah Syria.

Erdogan berada di Geneva untuk menghadiri Forum Pelarian Global pertama yang berlangsung dari 16 hingga 18 Disember.

Dalam kempen keganasannya lebih 30 tahun ke atas Turki, PKK yang di senarai sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, telah bertanggungjawab atas kematian lebih 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayu. – Bernama

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan semasa pembukaan Forum Pelarian Global di Geneva. – AFP